Bersatu pecat Wan Saiful, gantung keahlian Wan Fayhsal

 

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memecat Ahli Majlis Pimpinan Tertingginya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkuat kuasa serta-merta.

Turut dipecat ialah Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail; Ketua Bahagian Ampang, Mohd. Isa Saidi; Ketua Bahagian Pendang, Abdul Razak Khamis dan Ketua Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd. Azrudin Md. Idris.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang juga ahli MPT pula digantung keahlian selama satu penggal.

Menurut kenyataan Lembaga Disiplin Bersatu hari ini, tindakan itu diambil berikutan pelanggaran Perlembagaan dan Tatakelakuan ahli parti.

“Penggantungan itu dibuat berikutan pelanggaran Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu, yang mewajibkan ahli mematuhi perlembagaan parti, kod etika dan tatakelakuan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jelas kenyataan itu lagi, semua pemimpin berkenaan telah dipanggil oleh Lembaga Disiplin pada 8 Oktober lalu berhubung beberapa dakwaan termasuk isu pengumpulan Surat Akuan Bersumpah (SD) untuk menjatuhkan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mereka didakwa terlibat dalam usaha mengumpul SD dalam kalangan Ketua Bahagian Bersatu di seluruh negara bagi mengusulkan perbincangan mengenai langkah transisi kepemimpinan parti kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Ahli yang dijatuhi hukuman disiplin berhak mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh 14 hari untuk pertimbangan lanjut.

“Lembaga Disiplin telah membuat keputusan berdasarkan siasatan yang telah dijalankan serta pertimbangan yang sewajarnya tanpa campur tangan mana-mana pihak, bebas dan tidak berat sebelah.

“Lembaga Disiplin juga menyeru semua ahli Bersatu supaya mematuhi Perlembagaan serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli demi menjaga nama baik parti,” katanya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan