Pemilik tanah diceroboh rumah ibadat tak sah taraf tidak boleh ambil tindakan sendiri - MB Selangor

 

Pemilik tanah yang diceroboh rumah ibadat tidak sah taraf perlu melantik peguam untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi membolehkan sebarang pengosongan dan perobohan berlaku.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, semua pihak tidak boleh mengambil tindakan sendiri tanpa melalui proses mahkamah

"Ini berdasarkan Kanun Tanah Negara dan undang-undang berkait tanah," katanya dalam kenyataan media pada 12 Februari 2026.

Beliau mengulas insiden perobohan kuil yang menceroboh tanah persendirian di Rawang semalam.

Amirudin menambah, mengambil kira aspek keselamatan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor telah memutuskan perkara berikut:

Mana-mana pemilik tanah yang mendapati pencerobohan telah berlaku dan rumah ibadat dibina tanpa kelulusan:

1. Laporan polis perlu dibuat. Ini akan membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat dan sekiranya terbukti, proses pendakwaan bagi kesalahan pencerobohan akan bermula.

2. Hantar notis kepada pihak penceroboh dan maklumkan secara rasmi kepada pejabat daerah. Jawatankuasa keselamatan daerah (JKD) yang dipengerusikan oleh pegawai daerah telah diaktifkan di semua daerah di Selangor.

3. JKD sebagai pengantara akan memanggil semua pihak termasuk pemilik tanah, pemilik rumah ibadat, PDRM, dan pihak berkuasa tempatan bagi mencapai penyelesaian yang munasabah.

Beliau berkata, sekiranya proses itu tidak membuahkan hasil, JKD akan menasihatkan supaya proses mahkamah diteruskan oleh pemilik tanah.

"Pendekatan ini digunakan supaya keseluruhan proses ini melibatkan pihak berkuasa dan mengelakkan daripada sebarang insiden yang mampu mencetuskan rusuhan untuk berlaku," jelasnya.

BACA LAGI 

 





Catat Ulasan

0 Ulasan