Kerajaan Negeri Selangor telah menghentikan pengeluaran lesen penternakan babi dan memfokuskan kepada pengosongan tapak ladang yang sedia ada di Tanjong Sepat sejak bulan lalu, sekali gus menjiwai titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dizahirkan bulan lalu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dalam menjunjung kasih titah terbaharu Sultan Selangor, melangkah ke hadapan, kerajaan negeri tidak akan meneruskan pemberian lesen penternakan babi kepada mana-mana pihak di negeri itu.
Menurut beliau, bagi ladang penternakan yang beroperasi sebelum ini, kawasan tersebut akan ditutup dengan kadar lebih pantas secara berperingkat dengan kerjasama Jabatan Veterinar Negeri Selangor.
"Setakat ini, 70 peratus daripada keperluan masyarakat bukan Islam bagi daging babi bersumberkan import dari negeri-negeri lain, dan selepas keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, keseluruhan keperluan tempatan akan diimport sepenuhnya oleh industri terbabit.
"Sebarang pengeluaran dan kelulusan lesen import akan dirujuk kepada Kerajaan Persekutuan selaras dengan bidang kuasa pemberian lesen," katanya dalam kenyataan media pada 12 Februari 2026.
Amirudin menambah, keputusan itu diambil bagi menjaga sensitiviti masyarakat yang khuatir terhadap impak ladang penternakan ini kepada alam sekitar termasuk saliran air dan pencemaran bau.
"Dengan keputusan ini, sebarang polemik berkaitan isu babi harus dihentikan dan tidak dipanjangkan oleh mana-mana pihak yang mungkin bertujuan menggugat keharmonian dan menimbulkan perasaan syak wasangka di antara masyarakat negeri Selangor yang berbilang kaum dan agama," jelasnya.

0 Ulasan