Patuhi undang-undang berkaitan penggunaan tanah dan pembinaan rumah ibadat - Agong

 

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah menegaskan sebarang isu berkaitan agama tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak sehingga boleh menjejaskan keharmonian, perpaduan serta kestabilan negara yang berbilang kaum. 

Seri Paduka bertitah, Malaysia sebuah negara yang dibina atas asas keharmonian, dan kekuatan negara terletak pada semangat saling menghormati, toleransi serta pematuhan kepada undang-undang.

Titah Seri Paduka, setiap rakyat bertanggungjawab memelihara nilai-nilai berkenaan demi kepentingan bersama.

Seri Paduka bertitah menegaskan semua pihak wajib mematuhi undang-undang yang termaktub, termasuk dalam perkara berkaitan penggunaan tanah serta pembinaan rumah ibadat

Isu pembinaan kuil, titah Seri Paduka, hendaklah ditangani mengikut peraturan dan saluran undang-undang yang sama seperti pembinaan masjid, gereja dan tokong.

Sultan Ibrahim mengimbas kembali pengalaman baginda pada Januari 2018 apabila Seri Paduka bertindak sebagai pendamai dalam menyelesaikan isu perobohan sebuah kuil di Johor secara baik, berhemah dan berlandaskan undang-undang.

"Saya sendiri menyelesaikan masalah berkenaan secara baik serta menasihatkan semua pihak yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini serta menjaga ketenteraman awam.

"Agama Islam menekankan prinsip saling hormat-menghormati antara sesama manusia, dan Islam tidak menghalang penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan serta ibadat masing-masing.

"Penganut agama lain juga wajar menunjukkan sikap hormat terhadap Islam. Pendekatan saling menghormati ini penting bagi mengelakkan salah faham, ketegangan dan provokasi, sekali gus memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang agama dan budaya.

"Oleh demikian, apabila timbul sebarang isu berkaitan pembinaan kuil atau rumah ibadat, semua pihak hendaklah memahami serta menghormati undang-undang negara, di samping menyelesaikan perbezaan menerusi saluran yang sah demi mengekalkan keharmonian, toleransi dan semangat muhibah," titah Seri Paduka dalam kenyataan pada 11 Februari 2026.

Terdahulu, Seri Paduka berkenan menerima mengadap Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang di Istana Negara.

Seri Paduka turut mengingatkan semua pihak agar mengelakkan sebarang kenyataan atau tindakan yang boleh menimbulkan salah faham, perpecahan serta menggugat keamanan negara. 

BACA LAGI 






Catat Ulasan

0 Ulasan