Kami tidak sombong, Onn Hafiz jawab tuduhan PMX

 

Berikut adalah kenyataan media Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada 16 Jun 2026:

1. Saya mengambil maklum pandangan YAB Perdana Menteri bahawa rakyat Johor perlu memilih kepimpinan yang bijak, berprinsip, tidak sombong serta mampu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

2. Suka saya ingatkan YAB Perdana Menteri, pelantikan Menteri Besar dan seluruh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor adalah atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.

3. Keputusan BN Johor untuk bertanding di semua 56 kerusi adalah satu keputusan yang sukar untuk diterima oleh YAB PM. Adakah keputusan saya dan kepimpinan BN memilih untuk berprinsip dan mendengar suara majoriti  Bangsa Johor menjadikan saya seorang yang “sombong”? 

4. Kami tidak pernah sombong untuk bekerjasama dan tidak pernah angkuh untuk menerima pandangan atau bantuan. Namun, kami mempunyai prinsip, amanah dan tanggungjawab kepada Institusi Diraja serta kesejahteraan rakyat Johor yang mesti dipelihara.

5. Malah, dalam banyak perkara, Kerajaan Negeri turut membantu melengkapi usaha kementerian-kementerian Persekutuan demi kepentingan rakyat Johor.

6. Setiap tahun, Kerajaan Negeri membantu setiap bilik guru dan sekolah, walaupun urusan pendidikan berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan.

7. Setiap tahun, Kerajaan Negeri turut membantu setiap CIQ, IPD serta kem tentera, walaupun perkara tersebut berada di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan.

8. Kerajaan Negeri juga membantu setiap hospital, klinik dan kemudahan kesihatan awam, walaupun urusan kesihatan merupakan tanggungjawab Kementerian Kesihatan.

9. Malah, apabila hasil negeri meningkat, Kerajaan Negeri bukan sahaja mengumumkan bantuan khas kewangan kepada penjawat awam negeri, tetapi turut menghargai penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Johor.

10. Kami berbuat demikian kerana bagi Kerajaan Negeri, yang lebih utama bukanlah kementerian atau kerajaan mana yang bertanggungjawab, tetapi sama ada rakyat Johor mendapat manfaat.

11. Bukanlah niat saya untuk mengungkit atau berbangga dengan perkara ini. Tetapi saya dengan rendah hati ingin bertanya, dalam perkara apakah Kerajaan Negeri Johor dikatakan tidak memberikan kerjasama, tidak menyokong atau tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan?

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan