Bekas guru perlu sentiasa bersama kerajaan

Bekas guru perlu sentiasa bersama kerajaan

KUALA PILAH Kesemua bekas guru di daerah ini disaran agar sentiasa membantu kerajaan memberi penerangan bagi menepis dakyah-dakyah palsu yang disebarkan pembangkang.

Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek berkata, golongan berkenaan juga perlu mengelakkan diri daripada terperangkap dengan dakyah pembangkang yang cuba memperlekehkan usaha kerajaan dalam bidang pendidikan.

Tegasnya, bekas guru seharusnya tidak lupa bahawa mereka juga pernah berkhidmat dengan kerajaan dan mereka tidak sewajarnya terpengaruh dengan hasutan pembangkang.

‘‘Ada segelintir bekas guru yang secara terang-terangan memilih jalan yang tidak sehaluan dengan pemimpin negara dan tindakan ini boleh di- ibaratkan seperti kacang lupakan kulit,” ujarnya.

Hasan berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Bekas-bekas Guru Daerah Kuala Pilah di Dewan Kampung Sawah Lebar dekat sini semalam.

Tambah beliau, terdapat juga sebahagian kecil bekas guru yang bersikap lupa diri dengan mempertikaikan kemajuan yang dicapai oleh negara ini.

Justeru jelasnya, bekas guru perlu meneruskan taat dan setia mereka terhadap kerajaan yang memerintah walaupun telah bersara.

Sehubungan itu, ujar Hasan, selaku golongan yang berpengaruh dan dihormati oleh masyarakat, bekas guru wajar membantu kerajaan dengan menyampaikan maklumat yang sahih dan benar kepada orang ramai.

‘‘Namun, saya percaya bekas-bekas guru di daerah ini cukup matang dalam menepis dakyah-dakyah yang boleh membawa kepada kemusnahan bangsa, agama dan negara,” kata beliau.

Dalam pada itu, Hasan turut meminta bekas guru memainkan peranan dengan bertindak selaku pembimbing kepada masyarakat setempat.

Ujar beliau, melalui aktiviti berpersatuan, bekas guru boleh memainkan peranan dengan menyumbang idea dan tenaga yang boleh membawa kepada kemajuan masyarakat.

(Utusan Malaysia, 16 Ogos 2008, m/s 30)

Catat Ulasan

0 Ulasan