Seberang Batu Hampar bakal berubah wajah

Seberang Batu Hampar bakal berubah wajah


Mohammad Razi Kail melihat pesawat ringan mainan yang dipamerkan pada Karnival Udara Negeri Sembilan 2008 di Rembau, Negeri Sembilan, semalam. Gambar MOHD SHAHJEHAN MAAMIN


REMBAU 11 Ogos - Landskap di Kampung Seberang Batu Hampar di sini bakal berubah wajah apabila sebuah lapangan terbang untuk kegunaan pesawat ringan dibina di situ kelak.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohamad Razi Kail, pihaknya telah mengenal pasti lokasi tersebut sebagai tapak yang sesuai untuk dibangunkan lapangan terbang berkenaan.

Jelas beliau, projek itu masih dalam peringkat cadangan dan akan dipertimbangkan untuk kelulusan kerajaan negeri.

''Setelah diluluskan, lokasi berkenaan boleh menjadi salah satu hab penerbangan pesawat ringan di negara ini," ujarnya ketika berucap merasmikan Karnival Udara Negeri Sembilan 2008 di Kawasan Perindustrian Chembong di sini kelmarin.

Tambah beliau, pembinaan lapangan terbang tersebut memang sudah tiba pada masanya kerana kemudahan sedemikian masih belum terdapat di negeri ini.

Di samping itu, katanya, lapangan terbang itu juga boleh berfungsi sebagai tapak tetap bagi penganjuran karnival udara yang diadakan di sini setiap tahun.

Mohammad Razi memberitahu, pihak penganjur karnival berkenaan sering berdepan dengan masalah mencari tapak yang sesuai.

Menurut beliau, isu itu mendatangkan kesulitan kepada penganjur malah boleh mengganggu kelancaran aktiviti-aktiviti yang dijalankan semasa karnival berlangsung.

''Sehubungan itu, saya berharap masalah berkaitan tapak karnival udara akan selesai setelah lapangan terbang yang dicadangkan siap dibina.

''Malah, saya percaya karnival tersebut berpotensi untuk diiktiraf sebagai satu acara bertaraf antarabangsa setelah beroperasi di lokasi yang baru nanti," katanya.

Dalam pada itu, beliau berpendapat penganjuran karnival udara seperti ini perlu diteruskan setiap tahun.

Ujarnya, program tersebut mampu melonjakkan industri pelancongan di negeri ini serta menjana pendapatan penduduk setempat.

(Utusan Malaysia, 12 Ogos 2008, m/s 28)

Catat Ulasan

0 Ulasan