Tarikan Karnival Udara NS
|
REMBAU 11 Ogos - Sejak 2001, Karnival Udara Negeri Sembilan anjuran Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Sembilan (MTPNS) dengan kerjasama Kelab Penerbangan dan Rekreasi Udara Negeri Sembilan sentiasa menarik kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara.
Secara am, karnival diadakan dengan tujuan memupuk minat orang ramai terhadap aktiviti rekreasi berkaitan sukan udara melalui pelbagai aktiviti yang diatur.
Tahun ini, karnival tersebut kembali lagi buat kali ketujuh bermula 8 Ogos lepas hingga semalam bertempat di Kawasan Perindustrian Chembong di sini.
Menurut Pengurus Besar MTPNS, Badrulhisham Abd. Rahman, pelbagai aktiviti berkaitan rekreasi udara diadakan untuk pengunjung yang datang ke karnival berkenaan.
Antaranya menurut beliau, pertunjukan udara merangkumi pesawat microlight, luncur udara bermotor, pertandingan jet kawalan jauh, payung terjun, layang-layang, paramotor dan paragliding.
Selain itu, ujarnya, orang ramai juga berpeluang menyaksikan pameran kenderaan pacuan empat roda, demonstrasi keselamatan oleh Jabatan Pertahan Awam dan Unit Udara Bomba.
Di samping itu, tambah Badrulhisham, terdapat juga acara-acara lain seperti pertandingan mewarna kanak-kanak, sukaneka keluarga dan pertandingan paintball.
''MTPNS berharap penganjuran karnival udara ini dapat menyuburkan minat orang ramai terhadap sukan udara," kata beliau ketika ditemui selepas majlis perasmian karnival berkenaan di sini baru-baru ini.
Karnival tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong, Zaifulbahri Idris dan Pegawai Daerah Rembau, Mohd. Rawi Baharom.
Program tersebut juga menyaksikan seramai kira-kira 220 penggiat sukan penerbangan dan rekreasi udara dari dalam dan luar negara berkampung di situ untuk menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan sepanjang karnival itu.
Sementara itu, Presiden Kelab Penerbangan dan Rekreasi Udara Negeri Sembilan, Nasaruddin Abu Bakar berkata, karnival tersebut merupakan satu landasan terbaik untuk mempromosi sukan penerbangan dan rekreasi udara kepada orang ramai.
Jelas beliau, penganjuran aktiviti seperti ini perlu diperluaskan kerana ia berupaya menarik kedatangan ramai pelancong serta penggiat sukan ini dari dalam dan luar negara.
Katanya, pihak penganjur menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada penggiat-penggiat sukan penerbangan dan rekreasi udara dari seluruh ceruk rantau.
''Bagaimanapun, kami terpaksa menolak sebahagian daripada mereka kerana kawasan yang digunakan untuk karnival ini tidak cukup untuk menampung kesemuanya," ujar Nasaruddin.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan negeri akan membina sebuah landasan terbang kecil di di sini supaya lebih ramai pihak dapat menyertai karnival tersebut.
(Utusan Malaysia, 12 Ogos 2008, m/s 28)
0 Ulasan