Pasar Rakyat di N. Sembilan

Pasar Rakyat di N. Sembilan

SEREMBAN 11 Ogos - Kerajaan negeri bercadang memperkenalkan konsep Pasar Rakyat sebagai langkah menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan perniagaan berkaitan industri asas tani.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat, inisiatif tersebut adalah selaras dengan hasrat Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu menjadikan negeri ini sebagai pusat sumber hasil pertanian untuk pasaran tempatan.

Kata beliau, Pasar Rakyat juga membolehkan usahawan tani menjual sendiri hasil tanaman mereka secara terus kepada pelanggan tanpa perlu bergantung kepada orang tengah serta membolehkan produk dijual pada harga yang lebih rendah.

''Selain itu, kerajaan negeri yakin langkah ini boleh membantu meredakan isu harga makanan yang meningkat secara mendadak kebelakangan ini," ujarnya.

Yunus berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Buah-Buahan Tempatan di Starfresh Agro Park dekat sini baru-baru ini.

Sehubungan itu, tambah beliau, kesemua usahawan tani diminta mengambil kesempatan untuk memasarkan hasil pertanian mereka di Pasar Rakyat.

''Dengan kadar sewa tidak melebihi RM10 sehari, saya yakin Pasar Rakyat akan menerima sambutan menggalakkan daripada usahawan tani di negeri ini," jelasnya.

Menurut beliau lagi, sebagai permulaan, Pasar Rakyat akan dibuka di kawasan berhampiran Starfresh Agro Park dekat sini sebelum diperluaskan ke lokasi-lokasi lain sekitar negeri ini.

Di samping itu, ujar Yunus, orang ramai juga bakal menerima faedahnya kerana harga produk yang dijual di Pasar Rakyat adalah berpatutan dan mampu dibeli oleh golongan berpendapatan rendah.

Ujarnya, dengan wujudnya Pasar Rakyat, orang ramai juga akan mempunyai alternatif selain pasar raya besar dan pasar awam untuk membeli produk hasil tani yang segar.

(Utusan Malaysia, 11 Ogos 2008, m/s 29)

Catat Ulasan

0 Ulasan