Keperkasaan Yamtuan Besar Ketiga bukan mitos

Keperkasaan Yamtuan Besar Ketiga bukan mitos

KUALA PILAH 1 Ogos - Kurator Muzium Adat Jelebu, Prof. Norhalim Ibrahim (gambar) berkata, terdapat percanggahan pendapat tentang fakta sejarah berkaitan kedatangan Raja Melewar ke negeri ini.

Menurut beliau, ramai yang beranggapan Raja Melewar tiba dan ditabalkan sebagi Yamtuan Besar Negeri Sembilan pada sekitar tahun 1777 dengan berpegang kepada tulisan Newbold (1843).

Namun, berdasarkan kepada dokumen-dokumen lama Portugis, Belanda dan Inggeris, Norhalim percaya baginda tiba lebih awal lagi di sini iaitu pada sekitar tahun 1700.

''Selain itu, terdapat juga sepucuk surat yang ditulis oleh Almarhum Tuanku Muhammad kepada Ratu Victoria pada tahun 1727 tentang kedatangan Raja Melewar pada sekitar tahun 1700," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pengisahan sejarah laluan Raja Melewar pada majlis penutup Program Jelajah Laluan Raja Melewar di Muzium Diraja Seri Menanti di sini semalam.

Norhalim menambah, kajian beliau juga mendapati Raja Melewar telah mangkat sebelum tahun 1777.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan tentang peristiwa pertabalan Raja Melewar sebagai Yamtuan Rembau.

''Bagaimanapun, Raja Melewar akhirnya diusir dari Rembau kerana baginda dikatakan menimbulkan masalah sosial.

''Setelah tewas dalam pertempuran dengan orang-orang Rembau, Raja Melewar berundur menyusuri laluan dari Miku ke Seri Menanti," katanya.

Kata Norhalim, di Seri Menanti, Raja Melewar telah ditabalkan sebagai Yamtuan Besar Negeri Sembilan.

Beliau juga memberitahu, peristiwa kemangkatan Raja Melewar dipercayai berlaku sekitar tahun 1740 hingga 1750 di Rembau.

Katanya lagi, peristiwa itu berlaku kerana orang-orang Rembau telah bersumpah akan menamatkan riwayat Raja Melewar sekiranya baginda menjejakkan kaki semula di sana.

Norhalim menjelaskan, Raja Melewar dipercayai dibunuh dengan menggunakan buluh kuning yang runcing kerana baginda dikatakan tidak lut oleh besi.

(Utusan Malaysia, 4 Ogos 2008, m/s 26)

Catat Ulasan

0 Ulasan