Laluan Raja Melewar
|
KUALA PILAH 1 Ogos - Laluan Raja Melewar yang bermula di Kuala Linggi, Port Dickson dan berakhir di Seri Menanti dekat sini merupakan laluan peninggalan sejarah yang perlu dihayati oleh penduduk negeri ini khususnya yang berketurunan Minangkabau.
Namun, tidak ramai yang arif tentang laluan sepanjang kira-kira 200 kilometer ini serta tempat-tempat yang pernah dilalui Raja Melewar dan sejarah yang tersimpan di sebaliknya.
Buat julung-julung kalinya, seramai 40 pelajar Universiti Utara Malaysia telah menyelusuri laluan tersebut menerusi Program Jelajah Laluan Sejarah Raja Melewar pada 30 hingga 31 Julai lalu.
Program berkenaan yang dianjurkan oleh Persatuan Anak Negeri Sembilan UUM dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Sembilan serta ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Negeri Sembilan bertujuan memberi pendedahan kepada peserta tentang sejarah kedatangan Raja Melewar di negeri ini.
Menurut Presiden Persatuan Anak Negeri Sembilan UUM, Azrie Baqhtiar Kamal Baharin, 22, beliau rasa bertuah kerana tergolong dalam kumpulan pelajar institusi pengajian tinggi yang pertama membuat kajian tentang sejarah laluan Raja Melewar.
Beliau yang sedang mengikuti pengajian dalam jurusan Sains Pemutusan memberitahu, laluan bermula di Jeti Tanjung Agas, Kuala Linggi, Port Dickson dan berakhir di Muzium Diraja Seri Menanti di sini.
Tambahnya, dari Tanjung Agas, peserta menaiki bot melalui Sungai Linggi menuju ke Pengkalan Kampung Sungai Timun, Rembau.
''Seterusnya, kami melawat kawasan bersejarah di sekitar Rembau termasuk Kampung Sungai Timun, Sewar Raja (Kampung Sawah Raja), Danau Tasik Emas serta makam dan replika istana Raja Melewar di Kampung Astana Raja," ujar Azrie ketika ditemui selepas majlis penutup program itu di sini semalam.
Majlis penutup program berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Menanti, Abdul Samad Ibrahim.
Hadir sama Kurator Muzium Adat Jelebu, Prof. Norhalim Ibrahim; Penghulu Luak Ulu Muar, Datuk Seri Maharaja Khalid Bonget dan Pegawai Penasihat Persatuan Anak Negeri Sembilan UUM, Joezainy Ismail.
Azrie yang berasal dari Seremban menjelaskan, peserta turut bermalam di kawasan kaki Gunung Datuk sebelum bertolak ke Kampung Pabai, Miku, Rembau pada keesokan harinya.
''Laluan seterusnya agak mencabar kerana peserta berjalan kaki dari Kampung Pabai Miku ke Gunung Pasir dengan melalui Denai Air Jelai dan Simpang Petai sebelum meneruskan perjalanan ke Muzium Diraja Seri Menanti," katanya.
Tambah Azrie, beliau gembira kerana program tersebut berjaya mencapai matlamat membentuk sahsiah dan jati diri peserta melalui penghayatan terhadap warisan sejarah negeri dan bangsa.
Dalam pada itu, seorang peserta, Noorhafilah Zainal, 21, memberitahu, program tersebut banyak membantu meningkatkan pengetahuannya tentang sejarah berkaitan Raja Melewar.
Menurut pelajar jurusan Pengurusan Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan) ini, para peserta turut diberi penerangan tentang kepentingan kawasan-kawasan yang dilawati dari segi sejarah.
Dia yang berasal dari Felda Pasoh 2, Jempol, berharap penganjuran program seperti ini akan diteruskan serta diperluaskan ke institusi-institusi pengajian tinggi lain bagi memupuk minat generasi muda terhadap sejarah tempatan.
Sementara itu seorang lagi peserta, Azizi Irwan Adnan, 21, yang berasal dari Kampung Gachong di sini, berkata, laluan Raja Melewar berpotensi untuk dimajukan sebagai salah satu produk pelancongan negeri.
''Saya percaya laluan berkenaan mampu menarik minat pelancong yang menggemari aktiviti lasak terutamanya ketika menyelusuri sepanjang Denai Air Jelai hingga ke Simpang Petai," katanya.
Dia yang sedang mengikuti pengajian dalam jurusan Pengurusan Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan) menambah, laluan tersebut perlu dipulihara serta diwartakan sebagai kawasan peninggalan sejarah bagi mengelakkan ia terbiar atau hilang ditelan arus pembangunan.
Seorang lagi peserta, Syaza Afiqah Mohd. Norsalim, 21, yang berasal dari Durian Tipus, Jelebu, berkata, dia dan rakan-rakan yang lain memperoleh banyak maklumat tambahan tentang Raja Melewar melalui program berkenaan.
''Contohnya, ramai yang menganggap Raja Melewar merupakan Yamtuan Besar Negeri Sembilan yang pertama.
''Setelah mengikuti program ini, kini saya tahu baginda merupakan Yamtuan Besar yang ketiga ditabalkan di negeri ini selepas Raja Ibrahim dan Raja Kasah," jelasnya.
(Utusan Malaysia, 4 Ogos 2008, m/s 26)
0 Ulasan