PKR Putrajaya buat laporan polis penganjuran Himpunan Turun Anwar

 


PKR Cabang Putrajaya telah membuat laporan polis semalam berhubung kenyataan dalam portal Harakahdaily 10 Jun lalu yang mengumumkan penganjuran Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai ini.

Ketua Penerangannya, Mohd. Hafiz Osman berkata, kenyataan yang dikeluarkan Ketua Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden itu bukan sahaja mendakwa kononnya rakyat telah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, malah turut mengandungi tuduhan berat terhadap institusi kerajaan termasuk sistem kehakiman, penjawat awam dan Parlimen.

“PKR Cabang Putrajaya memandang serius usaha mengadakan perhimpunan sebegini yang dilihat sebagai cubaan menghasut rakyat, menyemai kebencian terhadap kerajaan, dan seterusnya menggugat ketenteraman awam serta sistem demokrasi berparlimen yang menjadi asas kestabilan negara kita,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Menurut beliau, sebarang perhimpunan bersifat provokatif, mengandungi unsur hasutan atau berniat menjatuhkan kerajaan melalui tekanan jalanan adalah tindakan tidak wajar dan boleh dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan negara serta prinsip keluhuran Perlembagaan.

Sehubungan itu, Mohd. Hafiz berkata, pihaknya menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap penganjuran himpunan berkenaan, termasuk kenyataan yang telah dikeluarkan, mengikut peruntukan undang-undang seperti Seksyen 124B Kanun Keseksaan atau mana-mana peruntukan bersesuaian.

“Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia agar tidak terpengaruh dengan sebarang usaha yang mencetuskan ketegangan politik dan gangguan kepada kestabilan negara. 

"Demokrasi harus dipertahankan melalui saluran yang sah, beradab dan mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

BACA LAGI 




Catat Ulasan

0 Ulasan