SPRM mohon maaf kepada keluarga Teoh Beng Hock

 


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menzahirkan rasa simpati dan memohon maaf kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock sempena memperingati ulang tahun ke-16 tragedi yang meragut nyawa mendiang di premis SPRM Selangor pada 2009.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, walaupun siasatan terkini oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) oleh Jabatan Peguam Negara, suruhanjaya tetap memandang serius kes tersebut yang meninggalkan kesan besar kepada keluarga mendiang dan institusi itu sendiri.

“Atas dasar keprihatinan, saya selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM, ingin menzahirkan perasaan simpati dan memohon maaf kepada keluarga mendiang atas penderitaan yang telah ditanggung sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, SPRM mengiktiraf hasil siasatan oleh pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada 2011, keputusan Mahkamah Rayuan pada 2014 dan siasatan terbaharu oleh pihak polis.

Tambah Azam, SPRM komited melakukan penambahbaikan secara menyeluruh demi memulihkan semula keyakinan rakyat, khususnya berhubung kebajikan individu yang hadir membantu siasatan.

Antara langkah yang telah dilaksanakan termasuklah:

  • Mewujudkan Bilik Rakaman Bervideo (VIR) untuk merekod kenyataan saksi dan suspek;

  • Menyediakan Bilik Temu Bual Saksi di aras bawah bagi akses lebih mudah dan pemantauan telus;

  • Mempertingkat sistem CCTV dengan teknologi tinggi di lokasi strategik;

  • Memasang jeriji besi di kompleks bangunan selaras garis panduan pihak berkuasa;

  • Menggunakan kamera badan (Body Worn Camera) dalam operasi siasatan; dan

  • Menerapkan teknik soal siasat model PEACE yang menekankan keberkesanan dan keselamatan.

Azam berkata, SPRM juga mengambil maklum bahawa kerajaan telah membayar pampasan RM600,000 kepada keluarga mendiang serta RM60,000 bagi kos guaman pada 2015 sebagai penyelesaian penuh dan muktamad mengikut Seksyen 7 dan 8 Akta Undang-Undang Sivil 1956.

“Sebagai tanda keprihatinan, SPRM bersedia memberi sumbangan ihsan kepada keluarga mendiang dalam jumlah yang akan ditentukan kelak bagi tujuan kebajikan dan perbelanjaan pendidikan anak mendiang,” katanya.

SPRM, katanya, akan terus berusaha menegakkan integriti serta memperkukuh institusi secara berterusan.

BACA LAGI 



Catat Ulasan

0 Ulasan