Asyraf sekolahkan Lim Lip Eng sebab bantah tahanan rumah Najib

 

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyekolahkan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng kerana keceloparan pemimpin DAP itu mempersoalkan titah adendum berhubung perintah tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau menegaskan, Lip Eng sepatutnya membaca Perlembagaan Persekutuan.

"Jika itu yang dikehendaki oleh Yang di-Pertuan Agong, siapa kamu yang hendak mempertikaikannya?

"Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa Yang di-Pertuan Agong, Raja, atau Yang di-Pertua Negeri untuk memberikan pengampunan, menangguhkan hukuman, atau meringankan hukuman.

"Baca, faham dan hormati Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu!" katanya dalam hantaran Facebook malam tadi.

Semalam, Lip Eng dalam kenyataannya membantah tahanan rumah terhadap Najib dengan alasan prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang tidak boleh dikompromi.

Beliau berkata semua sabitan jenayah mesti dihormati dan dilaksanakan tanpa pilih kasih.

“Malaysia tidak boleh menjadi negara dua darjat — satu undang-undang untuk golongan elit, satu lagi untuk rakyat. 

"Kedaulatan undang-undang mesti ditegakkan dengan saksama, berintegriti dan konsisten terhadap semua, tanpa pengecualian,” katanya.

BACA LAGI



Catat Ulasan

0 Ulasan