Persatuan belia disaran kurangkan protokol

Persatuan belia disaran kurangkan protokol

SEREMBAN 8 Ogos - Persatuan belia diminta menganjurkan lebih banyak aktiviti tidak formal bagi menarik lebih banyak belia menyertai persatuan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan negeri, Abdul Samad Ibrahim berkata, ini kerana belia kini tidak gemar menyertai persatuan yang dilihat terlalu formal dalam menganjurkan sesuatu aktiviti.

''Mereka berpendapat aktiviti yang mengandungi banyak protokol sebagai melecehkan dan kurang menarik untuk disertai," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, golongan belia kini sebaliknya lebih cenderung melibatkan diri dengan aktiviti sukan lasak serta program yang mencabar minda.

Sehubungan itu katanya, setiap persatuan wajar mewujudkan laman blog bagi membolehkan ahli-ahli melontarkan pendapat atau pandangan yang membina.

''Persatuan belia masih lagi relevan dalam membantu kerajaan mewujudkan generasi pelapis kepimpinan negara yang boleh berfikir secara rasional dan produktif,'' katanya.

(Utusan Malaysia, 9 Ogos 2008, m/s 31)

Catat Ulasan

0 Ulasan