Jadikan NS satu destinasi pelancongan popular

Jadikan NS satu destinasi pelancongan popular

SEREMBAN 27 Julai - Kerajaan negeri meminta semua pihak termasuk kerajaan serta swasta menggembling tenaga bagi menjadikan negeri ini sebagai salah satu destinasi pelancongan popular di dalam dan luar negara.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, destinasi pelancongan yang menarik memerlukan sokongan daripada sektor lain seperti pengangkutan, perhotelan, pemakanan, kebudayaan dan kesenian.

Beliau berkata, rakyat dan pengusaha yang terlibat dalam industri ini seharusnya mengenalpasti peluang-peluang yang mendatangkan faedah kepada mereka dan industri pelancongan negeri.

''Sehubungan itu, komitmen dari semua pihak adalah perlu bagi menjayakan wawasan pelancongan di negeri ini," ujarnya.

Mohamad berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Budaya dan Festival Kesenian Rakyat 2008 bertemakan 'Kepelbagaian Budaya Ke Arah Perpaduan' di sini malam kelmarin.

Sementara itu, beliau memberitahu, kerajaan negeri juga sedang giat mencari dan menggarap hasil seni dan budaya yang wujud dalam masyarakat di sini bagi diterjemahkan sebagai satu produk pelancongan yang boleh menarik lebih ramai pelancong tempatan dan asing.

Jelasnya, antara langkah yang diambil termasuk penganjuran pelbagai program dan aktiviti antarabangsa di negeri ini.

''Usaha penganjuran karnival ini merupakan satu alternatif dan langkah yang bijak bagi menarik lebih ramai pelancong asing melawat negeri ini," kata Mohamad.

Beliau menambah, selain itu, usaha mempromosi penginapan ala homestay di negeri ini perlu dijalankan dengan lebih giat lagi.

Ujarnya, dengan cara ini, Adat Perpatih yang diamalkan oleh sebahagian besar masyarakat di negeri ini dapat ditonjolkan dan dialami oleh pelancong.

Menurut Mohamad lagi, kerajaan negeri juga giat menjalankan usaha memperbaiki, memperindah serta memberi nilai tambah kepada kawasan-kawasan pelancongan di sini.

Katanya, kesemua langkah berkenaan adalah perlu bagi mencapai sasaran seramai dua juta pelancong yang datang menginap ke negeri ini pada tahun ini.

(Utusan Malaysia, 28 Julai 2008)

Catat Ulasan

0 Ulasan