Utamakan pekerja tempatan bagi jawatan teknikal - Mogan

Utamakan pekerja tempatan bagi jawatan teknikal - Mogan

REMBAU 26 Julai - Semua majikan di negeri ini disaran memberi keutamaan kepada pekerja tempatan yang berkemahiran bagi mengisi kekosongan jawatan teknikal di organisasi masing-masing.Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Perladangan, Sumber Manusia, Alam Sekitar dan Pengaduan Awam negeri, V.S. Mogan, langkah berkenaan adalah perlu bagi mengurangkan kadar pengangguran di kalangan rakyat tempatan yang memiliki kemahiran teknikal.

Jelas beliau, kerajaan turut memainkan peranan dengan mengambil tindakan menghantar pekerja asing yang tidak mempunyai permit kerja yang sah pulang ke negara masing-masing.

''Sehubungan itu, pihak majikan juga perlu menyediakan peluang kerja kepada rakyat tempatan yang berkemahiran daripada segi teknikal," katanya ketika berucap merasmikan program Hari Terbuka dan Karnival Pekerjaan di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pedas dekat sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Romli Hassan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong, Zaifulbahri Idris dan ADUN Kota, Datuk Dr. Awaludin Said.

Sementara itu, beliau menambah, pihak majikan juga perlu memperbaiki sistem kerja dan prosedur yang didapati tidak lagi sesuai untuk dipraktikkan pada masa kini.

Katanya, budaya kerja yang positif perlu diamalkan bagi meningkatkan daya saing serta produktiviti sesebuah organisasi.

Ujar Mogan, majikan perlu berani melakukan perubahan yang dicadangkan bagi mempersiapkan organisasi dalam menghadapi persaingan global yang sengit.

Secara tidak langsung, jelasnya, langkah berkenaan akan turut menyumbang ke arah merealisasi hasrat kerajaan mencapai status negeri maju.

(Utusan Malaysia, 26 Julai 2008, m/s 20)

Catat Ulasan

0 Ulasan