Tarik minat generasi pelapis
SEREMBAN 25 Julai - Program Latihan Boling Percuma (Plabor) anjuran Persatuan Tenpin Boling Negeri Sembilan (PTBNS) dan Stadium Boling Negeri sehingga hari ini telah berjaya menarik minat seramai 79 pelajar sekolah menengah dan rendah untuk menyertainya.
Menurut seorang peserta, Shafiq Danial Mohd. Nizam, 11, program tersebut banyak melatihnya teknik yang betul dalam permainan boling.
Murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Ampangan ini berkata, sepanjang dua minggu mengikuti program berkenaan, beliau mendapati pendekatan yang digunakan oleh para jurulatih juga sangat berkesan dan mudah diterima .
''Sehubungan itu, saya mengesyorkan supaya lebih ramai lagi rakan-rakan dari peringkat sekolah rendah menyertai program ini," ujar Shafiq ketika ditemui di Stadium Boling Negeri, Paroi dekat sini hari ini.
Seorang lagi peserta, Muhammad Faisal Adlan, 14, berkata, beliau menunjukkan peningkatan yang ketara dari segi teknik membaling bola sejak menjalani latihan dua bulan lalu.
Jelas pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendita Zaaba ini, keyakinan beliau untuk berjaya dalam bidang ini semakin tinggi hasil tunjuk ajar dan motivasi oleh tiga jurulatih yang pernah mewakili negeri di peringkat kebangsaan.
''Semangat saya untuk mewakili negeri serta negara dan seterusnya mencatat kejayaan dalam sukan boling semakin berkobar-kobar setelah mengikuti program ini," ujar Muhammad Faisal.
Sementara itu, pelajar tingkatan satu SMK Seri Ampangan, Aina Suraya Ahmad Bakhtiar, 13, memberitahu, beliau tidak mempunyai sebarang asas dalam sukan boling sebelum menyertai program tersebut.
Menurut Aina lagi, kini beliau lebih mahir membaling bola dengan tepat bagi menjatuhkan pin-pin yang berada di hujung lorong selepas dua bulan mengikuti latihan.
Rakan beliau dari sekolah yang sama, Zakyah Mohd. Razi, 13, pula berkata, penglibatan dalam program ini merupakan satu cara untuk meredakan tekanan setelah seharian menuntut ilmu di sekolah.
''Walaupun baru dua bulan menyertai program ini, saya optimis dengan kemampuan saya untuk muncul sebagai pemain boling wanita terunggul di negara ini seperti Shalin Zulkifli," katanya.
Zakyah juga berharap lebih ramai rakan-rakan dari kalangan pelajar akan menyertai program latihan ini sebagai satu cara mengisi masa yang terluang.
(Utusan Malaysia, 26 Julai 2008, m/s 26)
0 Ulasan