Latihan boling percuma

Latihan boling percuma


Syahrizal Yassin (memegang bola) menunjukkan teknik membaling bola boling kepada pelajar-pelajar yang mengikuti Program Latihan Boling Percuma (Plabor) di Stadium Boling Negeri, Paroi dekat sini, semalam. - Gambar HUSSAINI AMRAN


SEREMBAN 25 Julai - Sejak mula diperkenalkan pada 1961, sukan tenpin boling semakin mendapat tempat di kalangan pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.

Walaupun tidak dinobatkan sebagai sukan nombor satu negara, tenpin boling telah berjaya mengharumkan nama negara dengan memenangi beberapa kejohanan di peringkat antarabangsa.

Kejayaan skuad boling negara yang dibarisi oleh Johnny Kim, Allan Lee, Allan Hooi, O.B. Lim, Patrick Soh dan Y.K. Thong menggondol lapan pingat emas dalam Kejohanan FIQ Asia di Hong Kong pada tahun 1970 telah membuka mata rakyat Malaysia terhadap sukan tersebut.

Lebih membanggakan lagi, pemain boling wanita negara, Shalin Zulkifli, pernah menerima penghargaan sebagai Pemain Boling Terunggul dari Persatuan Penulis-Penulis Boling Dunia pada 1994.

Kini, peminat-peminat sukan boling di negeri ini berpeluang mengikuti Program Latihan Boling Percuma (Plabor) yang dianjurkan secara bersama oleh Persatuan Tenpin Boling Negeri Sembilan (PTBNS) dan Stadium Boling Negeri.

Menurut Setiausaha Kehormat PTBNS, Syed Hishamuddin Syed Nordin, idea untuk mewujudkan program tersebut dicetuskan pada kira-kira dua tahun lalu oleh Presiden PTBNS, Datuk Badruddin Sheikh Ahmad.

Jelasnya, matlamat utama penganjuran program berkenaan adalah untuk meningkat kemajuan sukan tenpin boling serta mencungkil bakat baru khususnya di kalangan remaja bagi mewakili negeri ini di peringkat kebangsaan.

Beliau menambah, penyertaan terbuka kepada golongan pelajar dan dewasa yang bermastautin di negeri ini dan kesemua kos latihan ditanggung oleh Persatuan Tenpin Boling Negeri Sembilan dan Stadium Boling negeri.

Bagaimanapun, katanya, yuran pendaftaran sebanyak RM10 sebulan dikenakan ke atas peserta kategori pelajar manakala peserta dewasa pula dikenakan bayaran RM20 sebulan.

''Jadual latihan untuk peserta kategori pelajar bermula pada pukul 4 petang hingga 5 petang setiap Isnin hingga Khamis dan pada pukul 8 pagi hingga 9 pagi setiap Sabtu.

''Peserta dewasa pula boleh mengikuti salah satu daripada dua sesi latihan setiap Isnin hingga Khamis. Sesi pagi bermula pada pukul 8 pagi hingga 9 pagi dan sesi petang bermula pada pukul 6 petang hingga 7 petang," jelas beliau ketika ditemui di Stadium Boling Negeri, Paroi dekat sini hari ini.

Di samping itu, jelas Syed Hishamuddin, setiap peserta dikehendaki mengikuti sesi latihan selama tiga bulan yang dikendalikan oleh tiga jurulatih boling bertauliah dari PTBNS dan kesemua sesi latihan bertempat di Stadium Boling Negeri.

''Keutamaan akan diberikan kepada individu-individu yang tidak mempunyai sebarang asas dalam sukan tenpin boling," katanya.

Menurut Syed Hishamuddin lagi, program berkenaan merupakan yang pertama dianjurkan di negara ini dan lebih istimewa lagi, ia bertempat di stadium boling pertama di Malaysia.

Sementara itu, jurulatih boling remaja, Syahrizal Yassin, 21, berkata, hampir kesemua pelajar sekolah menengah dan rendah yang mengikuti program tersebut sejak Jun lalu menunjukkan peningkatan yang ketara dari segi teknik dan kemahiran.

Tambah beliau, sepanjang tempoh latihan selama tiga bulan, peserta-peserta akan didedahkan kepada teknik asas sukan tenpin boling bermula dari kneel-down drill, balanced-line drill, two-step drill, push-away drill, three-step drill dan diakhiri dengan four-step drill.

Secara ringkasnya, jelas Syahrizal, modul latihan lebih tertumpu kepada melatih peserta tentang aspek teknikal berkaitan dengan pergerakan badan serta melepas dan membaling bola.

''Tempoh latihan bagi setiap peringkat kemahiran adalah bergantung kepada tahap penerimaan dan penguasaan peserta," ujarnya ketika ditemui di Stadium Boling Negeri di sini hari ini.

Menurut beliau lagi, setiap peserta yang berjaya menamatkan latihan akan diberikan sijil penyertaan daripada PTBNS.

Syahrizal menambah, peserta yang berbakat besar dan berpotensi untuk melangkah lebih jauh ke hadapan dalam bidang ini berpeluang diserap ke dalam skuad pelapis bagi mewakili negeri di kejohanan tenpin boling kebangsaan.

Jelasnya, selain beliau, dua lagi jurulatih boling bertauliah iaitu Ahmad Fauzan Badruddin, 22, dan Ahmad Farhan Badruddin, 23, turut terlibat dalam program ini.

Dalam pada itu, ujarnya, PTBNS juga bersedia mengadakan sesi latihan khusus untuk sekolah-sekolah yang berminat mewujudkan skuad tenpin boling masing-masing.

(Utusan Malaysia, 26 Julai 2008, m/s 26)

Catat Ulasan

0 Ulasan