Teguhnya adat perpatih Luak Tampin
|
TAMPIN 22 Ogos - Salah satu kata perbilangan yang menjadi teras kepada adat perpatih yang diamalkan oleh masyarakat berketurunan Minangkabau di Luak Tampin serta empat luak lain di negeri ini ada menyebut:
Bertangga naik, berjenjang turun
bulat anak buah melantik buapak
bulat buapak melantik lembaga
bulat lembaga menjadikan penghulu
bulat penghulu mendirikan keadilan.
Sejak ditubuhkan kira-kira 174 tahun lalu, masyarakat Minangkabau di Luak Tampin yang juga dikenali sebagai 'Luak Tanah Mengandung' masih teguh berpegang kepada adat perpatih.
Malah, adat tersebut juga diibaratkan sebagai 'tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan.'
Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri, berkata, adat perpatih masih kukuh dan mantap di luak ini biarpun diasak oleh arus kemodenan yang semakin pesat.
Menurut beliau, adat yang bertunjangkan prinsip demokrasi ini berupaya menggalak dan menyuburkan amalan toleransi dan muafakat di kalangan masyarakat.
Tambahnya, adat perpatih juga berperanan memupuk sikap saling hormat-menghormati serta nilai kesopanan yang tinggi dalam diri setiap anggota masyarakat.
"Kata perbilangan dalam adat perpatih boleh dipraktikkan untuk mendidik golongan muda bagi melahirkan generasi yang berwibawa, berketerampilan dan berkeupayaan.
"Sehubungan itu, semua anggota masyarakat di luak ini diseru memahami dan menghayati kata perbilangan yang diwarisi sejak turun-temurun," ujar beliau.
Tunku Syed Razman berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Mengadap Penyandang Pusaka Luak Tampin di Balai Tunku Besar Tampin dekat sini baru-baru ini.
Dalam upacara itu, beliau dan Tunku Isteri Cik Puan Sharlita Omar berkenan menerima mengadap Pembesar Balai Nan Lapan yang diketuai Datuk Panglima Raja Ali Omar serta diiringi isteri masing-masing.
Hadir sama Datuk Andika Pendeta Norzali Ibrahim; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Masyarakat negeri, Zainab Nasir dan Pegawai Daerah Tampin, Datuk Mohd. Yusof Yunus.
Setiap dua tahun sekali, Pembesar Balai Nan Lapan diperkenankan mengadap Tunku Besar Tampin pada 12 Ogos bersempena dengan sambutan penubuhan Luak Tampin pada tarikh tersebut.
Istiadat berkenaan juga merupakan satu upacara simbolik di mana penyandang pusaka memperbaharui tekad dan taat setia serta menjunjung kasih kepada Tunku Besar Tampin.
Dalam pada itu, Tunku Syed Razman turut menyarankan agar pihak Balai Tunku Besar Tampin dan Pejabat Daerah Tampin bekerjasama menganjurkan seminar, bengkel dan kursus tentang adat perpatih.
"Langkah tersebut membolehkan masyarakat berketurunan Minangkabau di sini terutamanya generasi muda mempelajari dan memahami adat ini," katanya.
Dalam pada itu, Tunku Syed Razman menasihatkan kesemua penyandang pusaka di Luak Tampin agar memiliki pengetahuan yang mendalam tentang adat perpatih.
Beliau memberitahu, selaku penyandang pusaka, mereka perlu arif tentang selok-belok pelaksanaan adat tersebut serta berusaha memeliharanya supaya ia kekal sepanjang zaman.
Menurutnya lagi, penyandang pusaka mempunyai peranan yang besar menegakkan kembali adat ini di kalangan masyarakat di Luak Tampin.
Namun, kata beliau, usaha itu pasti sukar sekiranya penyandang pusaka sendiri tidak memiliki pengetahuan yang luas tentang adat perpatih.
Di samping itu, jelas Tunku Syed Razman, pengetahuan tentang adat perpatih sememangnya perlu bagi membolehkan setiap penyandang pusaka melaksanakan tugas secara berkesan.
(Utusan Malaysia, 23 Ogos 2008, m/s 30)
0 Ulasan