Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa mereka telah menerima laporan berhubung pendedahan dan penyebaran dokumen yang disyaki sebagai minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail menjelaskan siasatan kini dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
“Siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972, Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau menambah, siasatan akan memfokuskan kepada pendedahan dan penyebaran maklumat tersebut sama ada di peringkat dalaman mahupun media sosial, dan semua saksi berkaitan akan dipanggil untuk membantu siasatan.
Dalam pada itu, Mohd. Khalid juga mengingatkan orang ramai agar tidak mendedahkan apa-apa dokumen atau maklumat yang diklasifikasikan sebagai terperingkat.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam mendedahkan dan menyebarkan maklumat tersebut,” tegasnya.
Beliau seterusnya menegaskan bahawa PDRM sentiasa memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menjaga integriti serta keselamatan maklumat kerajaan.
0 Ulasan