Penyandang pusaka perlu bersikap adil

Penyandang pusaka perlu bersikap adil

TAMPIN 22 Ogos - Kesemua penyandang pusaka di Luak Tampin diingatkan agar sentiasa menjalankan tugas yang diamanahkan dengan adil dan saksama.

Menurut Ketua Pembesar Balai Nan Lapan Luak Tampin, Datuk Panglima Raja Ali Omar, penyandang pusaka termasuk besar suku, buapak, lembaga dan penghulu pusaka adat hendaklah bertanggungjawab dan tidak membuat keputusan yang berat sebelah.

Jelas beliau, sebarang tindaktanduk yang melanggar sumpah pusaka adalah sama-sekali bertentangan dengan adat perpatih yang menjadi tunjang sebahagian besar masyarakat di luak ini.

"Justeru, penyandang pusaka hendaklah melaksanakan tanggungjawab masing-masing mengikut jalan yang ditentukan oleh adat kerana tindakan yang sebaliknya boleh mendatangkan kesan yang buruk," ujarnya.

Raja Ali berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan kepada Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri pada Istiadat Mengadap Penyandang Pusaka Luak Tampin di Balai Tunku Besar Tampin dekat sini baru-baru ini.

Di samping itu, beliau turut menyelar sikap segelintir penyandang pusaka yang bertindak seperti 'tidak tahu adat' dan hanya bermegah-megah dengan gelaran.

Tambahnya, setiap penyandang pusaka seharusnya berusaha menghidupkan kembali adat istiadat kerana mereka merupakan tunggak dalam sistem hierarki masyarakat berketurunan Minangkabau yang berpegang teguh kepada adat perpatih di sini.

Kata Raja Ali lagi, penyandang pusaka juga hendaklah mengelakkan diri daripada terlibat dalam politik kerana tindakan itu boleh menjejaskan atau merendahkan martabat pusaka.

"Perlu diingat bahawa taraf kedudukan penghulu pusaka adat di Luak Tampin atau Luak Tanah Mengandung adalah setaraf dengan Datuk Undang Nan Empat di luak-luak lain.

"Kita sepatutnya memberi tumpuan kepada usaha memantap dan mendarjatkan kembali adat istiadat di Luak Tampin dan bukannya aktif berpolitik," tegasnya.

Selain itu, Raja Ali memberitahu, selaku pemimpin tertinggi luak ini, Tunku Besar Tampin mempunyai kuasa mutlak ke atas semua perkara berkaitan adat termasuk menentukan kedudukan penyandang pusaka adat.

Sehubungan itu, beliau meminta agar kesemua penyandang pusaka memastikan setiap perintah Tunku Besar Tampin dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

(Utusan Malaysia, 23 Ogos 2008, m/s 30)

Catat Ulasan

0 Ulasan