Pelajar didedah kefahaman merdeka
PORT DICKSON 28 Ogos - Program Panel Intelek sempena Bulan Kemerdekaan 2008 anjuran Jabatan Penerangan negeri dan Politeknik Port Dickson di sini semalam berjaya mencapai matlamat meningkatkan kesedaran pelajar tentang erti kemerdekaan.
Pelajar jurusan Diploma Sains Kesetiausahaan, Intan Faizatul Nazaliah Gzali, 18, berkata, kemerdekaan merupakan satu anugerah tidak ternilai yang mesti dihargai segenap lapisan rakyat.
''Walaupun negara telah merdeka, generasi muda hari ini hendaklah belajar daripada sejarah silam agar keperitan mengharungi zaman penjajahan selama 446 tahun tidak berulang," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian program tersebut di Politeknik Port Dickson di sini semalam.
Kira-kira 300 pelajar Politeknik Port Dickson mengikuti program itu yang dirasmikan oleh Pengarah Penerangan negeri, Ahmad Iqbal Zainal Azim.
Rakannya, Norsyafiqa Khairudin, 18, berkata, kemerdekaan bermakna bebas daripada segala unsur serta gejala negatif yang boleh meruntuhkan agama, bangsa dan negara.
Katanya, sebagai generasi pelapis kepimpinan, golongan remaja sepatutnya memanfaatkan kemerdekaan dengan menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara.
''Adalah tidak wajar menyamakan kemerdekaan dengan kebebasan untuk melakukan atau berkata apa sahaja hingga boleh mengganggu sensitiviti masyarakat," jelasnya.
Pelajar Diploma Akauntan, Faisal Alwi, 19, pula menyarankan remaja menghayati serta mengimbau kembali perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan seperti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tok Janggut, Mat Kilau dan Datuk Bahaman.
''Bagi saya, cara ini jauh lebih baik daripada melibatkan diri dengan gejala tidak bermoral seperti lumba haram atau mengadakan pesta liar pada malam ambang merdeka," ujarnya.
Rakannya dari jurusan sama, A. Murugan, 17, berharap lebih ramai golongan remaja menghadiri program menghayati erti kemerdekaan anjuran pihak kerajaan dan swasta.
''Dengan cara ini, generasi muda akan lebih menghargai nikmat kemerdekaan selama ini di samping memupuk semangat patriotisme dalam diri," katanya.
(Utusan Malaysia, 28 Ogos 2008, m/s 31)
0 Ulasan