Semangat pelajar rai merdeka
|
PORT DICKSON 29 Ogos - Sebanyak 1,071 pelajar dan 73 guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Saujana di sini menyertai Majlis Perhimpunan Patriotik sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan 2008 hari ini.
Pengetuanya, Jaafar Sidek Latif (gambar) berkata, majlis berkenaan merupakan acara kemuncak Sambutan Bulan Kemerdekaan 2008 peringkat sekolah tersebut yang bermula sejak 17 Julai lalu.
Jelas beliau, SMK Bukit Saujana menganjurkan majlis itu setiap tahun dengan matlamat untuk menerap semangat patriotisme di kalangan pelajar di samping mengajak mereka mengimbau kembali peristiwa kemerdekaan negara.
''Sambutan pada tahun ini lebih menarik kerana sebanyak 200 pelajar dan 30 guru berhimpun di padang sekolah bagi membentuk angka '51' sempena hari kemerdekaan negara yang ke-51," ujarnya.
Jaafar berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program tersebut di perkarangan SMKBS dekat sini hari ini.
Selain itu, tambah Jaafar, terdapat juga acara-acara lain seperti deklamasi puisi, nyanyian lagu patriotik serta persembahan drama bertema kemerdekaan.
Kata beliau, kesemua pelajar dan guru SMK Bukit Saujana bersama-sama berganding bahu menghasilkan poster, potret, kain rentang serta lukisan bendera bagi memeriahkan lagi program berkenaan.
Di samping itu, ujar Jaafar, pelajar juga digalakkan memakai busana tradisional kaum masing-masing pada hari sambutan sebagai mencerminkan kepelbagaian budaya masyarakat di negara ini.
Menurut beliau, langkah itu dipercayai boleh memupuk semangat perpaduan dan toleransi di kalangan pelajar berbilang kaum di sekolah tersebut.
(Utusan Malaysia, 30 Ogos 2008, m/s 28)
0 Ulasan