Jangan campur urusan Islam, PEKIDA beri amaran tegas kepada Lingeshwaran

 

PEKIDA MALAYSIA membantah sekeras-kerasnya kenyataan Senator DAP, RA Lingeshwaran, yang dilaporkan mendesak supaya siasatan dijalankan terhadap poster pendaftaran saudara baharu (mualaf) yang dikaitkan dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Presidennya, Datuk Mohd. Foad Mat Isa berkata, walaupun UPSI telah menjelaskan bahawa poster tersebut tidak melalui proses kelulusan rasmi universiti sebelum diedarkan, PEKIDA MALAYSIA memandang serius tindakan yang dilihat cuba mencetuskan polemik terhadap program berkaitan pembangunan mualaf dan aktiviti dakwah Islam di institusi pengajian tinggi.

Menurut beliau, PEKIDA MALAYSIA ingin mengingatkan semua pihak bahawa Islam merupakan Agama Persekutuan sebagaimana yang termaktub di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. 

"Kedudukan ini bukan sekadar pengisytiharan simbolik, malah memberikan asas kepada pelbagai usaha pembangunan Islam, pendidikan Islam dan aktiviti dakwah yang dilaksanakan secara sah di negara ini," katanya dalam kenyataan media pada 17 Jun 2026.

Pada masa yang sama, Mohd. Foad berkata, Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada negeri-negeri untuk mengawal dan menyekat penyebaran apa-apa doktrin atau kepercayaan agama kepada orang Islam. 

Beliau berkata, hakikat itu menunjukkan bahawa Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf keperluan melindungi akidah umat Islam, manakala usaha dakwah Islam kepada bukan Islam yang dilakukan secara aman dan sukarela adalah dibenarkan di sisi undang-undang.

"Justeru, PEKIDA MALAYSIA mempersoalkan mengapa program yang bertujuan membantu dan membimbing saudara baharu perlu dijadikan isu sehingga mencetuskan kebimbangan serta tekanan kepada pihak universiti. 

"Saudara baharu yang memilih Islam atas kehendak sendiri berhak menerima pendidikan, bimbingan agama, sokongan moral dan bantuan kebajikan tanpa gangguan daripada mana-mana pihak," jelasnya.

Mohd. Foad berkata, PEKIDA MALAYSIA ingin memberi amaran tegas kepada Senator RA Lingeshwaran supaya jangan sesekali mencampuri urusan agama Islam, menyemai rasa kebencian dan melakukan provokasi agama semata-mata untuk meraih populariti dan keuntungan politik. 

Menurut beliau, sebarang program mualaf atau usaha dakwah Islam adalah sesuatu hak eksklusif umat Islam dan orang bukan Islam tidak wajar sama sekali untuk mencampuri rusan tersebut. 

"PEKIDA MALAYSIA juga ingin menegaskan bahawa umat Islam tidak akan berdiam diri sekiranya terdapat mana-mana pihak yang cuba mengganggu, melemahkan atau mempertikaikan hak umat Islam untuk melaksanakan dakwah dan membimbing saudara baharu sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Sebagai sebuah pertubuhan yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara, PEKIDA MALAYSIA akan berdiri di barisan hadapan mempertahankan program-program pembangunan mualaf, pendidikan Islam dan dakwah yang sah di sisi undang-undang. 

"Kami tidak akan membenarkan mana-mana pihak menimbulkan ketakutan atau tekanan sehingga institusi pendidikan teragak-agak untuk melaksanakan program-program yang memberi manfaat kepada umat Islam dan saudara baharu," tegasnya.

Sehubungan itu, Mohd. Foad berkata, PEKIDA MALAYSIA akan berhubung dengan pucuk pimpinan UPSI dalam masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara tersebut serta menyatakan sokongan terhadap segala usaha yang membantu saudara baharu dan memperkukuhkan pembangunan Islam di universiti tersebut.

"PEKIDA MALAYSIA menyeru seluruh umat Islam agar terus bersatu mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, mempertahankan hak dakwah yang sah, serta menolak sebarang cubaan yang boleh melemahkan usaha memperkukuhkan akidah dan pembangunan umat Islam di negara ini," katanya. 

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan