Parti BERJASA sekali lagi menegaskan komitmen untuk menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung pada 1 Ogos 2026 dengan sasaran bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Presidennya, Zamani Ibrahim berkata, BERJASA percaya bahawa Negeri Sembilan mempunyai keunikan tersendiri melalui sistem Adat Perpatih yang perlu dimartabatkan dalam politik dan pentadbiran negeri.
Menurut beliau, dengan pendekatan politik baharu, BERJASA berhasrat menjadikan Negeri Sembilan sebagai negeri yang progresif dan beradat.
"BERJASA menekankan bahawa politik matang dan berintegriti adalah asas kepada pembangunan negeri.
"Justeru, BERJASA bersedia bekerjasama dengan parti-parti pembangkang lain demi memastikan rakyat Negeri Sembilan mendapat pilihan yang lebih baik," katanya dalam kenyataan media pada 17 Jun 2026.
Zamani berkata, BERJASA yakin bahawa pengundi Negeri Sembilan adalah matang dan bersedia menerima solusi politik baharu yang mampu membawa pembangunan seimbang, memelihara adat serta memperkukuh identiti negeri.
"Dengan pelancaran jentera pilihan raya, BERJASA kini bersedia sepenuhnya menghadapi PRN Negeri Sembilan dan akan menampilkan manifesto yang berpaksikan pembangunan, integriti, serta pemeliharaan adat dan budaya tempatan," katanya.

0 Ulasan