NGO Melayu sokong kepimpinan negeri dan pusat

NGO Melayu sokong kepimpinan negeri dan pusat

SEREMBAN 21 Mac - Majlis Permuafakatan Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu negeri yang mengadakan perjumpaan hari ini menyatakan sokongan pada barisan kepimpinan di peringkat kerajaan negeri dan Pusat.

Pengerusi Majlis Permuafakatan Bersama NGO Melayu negeri, Datuk Hamzah Mohd. Kassim berkata, kesemua wakil 30 NGO mewakili kepentingan kaum Melayu di negeri ini percaya pemimpin-pemimpin yang telah dilantik mampu bekerja untuk kesejahteraan rakyat dan negara.

''Pihak majlis menerima dengan baik barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri dan menteri-menteri Kabinet yang baru dilantik dan kami yakin dengan keupayaan mereka untuk menggubal dasar-dasar yang melindungi kepentingan rakyat.

''Justeru itu, kami berikrar akan menggerakkan kesemua jentera organisasi sebagai tanda sokongan padu bagi memastikan semua lapisan masyarakat, terutamanya kaum Melayu menerima faedah daripada kemajuan dan pembangunan yang dirancang oleh kerajaan," ujar beliau dalam sidang akhbar yang diadakan di bangunan Kelab Melayu negeri di sini hari ini.

Di samping itu, Hamzah menjelaskan pihaknya menganggap keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 mencerminkan kehendak rakyat yang mahukan ketelusan dalam dasar-dasar yang digubal dan dilaksanakan oleh kerajaan.

Beliau turut mengingatkan pihak yang tertentu supaya jangan mencabar dan menggadai hak-hak istimewa orang Melayu dalam keghairahan mereka untuk berkuasa.

Kata Hamzah, beliau kesal kerana ada orang Melayu sendiri yang menjadi dalang di sebalik usaha-usaha menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sedangkan mereka turut menerima faedahnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pihak majlis akan mendekati masyarakat Melayu di peringkat akar umbi, khususnya golongan muda, untuk menerangkan mengapa DEB perlu dipertahankan.

''Kami fikir langkah ini perlu untuk menangkis dakyah-dakyah yang disebarkan oleh pihak pembangkang. Kami turut kesal dengan sikap individu yang tergamak membelakangkan agenda masyarakat Melayu untuk berkuasa," katanya.

Hamzah juga menyuarakan kebimbangan golongan tersebut akan bertindak lebih berani dengan menyoal hak-hak orang Melayu seperti institusi beraja, bahasa dan kebudayaan selain dari DEB.

''Majlis berpandangan kerajaan hendaklah menunjukkan kesungguhan dalam menangani isu-isu yang disuarakan oleh rakyat, contohnya kenaikan harga barang.

''Selain itu, perlu ada satu pembaharuan pemikiran dalam menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dengan rakyat dan untuk menangkis dakyah-dakyah yang disebarkan pembangkang melalui internet," ujarnya.

(Utusan Malaysia, 22 Mac 2008)

Catat Ulasan

0 Ulasan