Perkampungan kristal terbesar di Rembau
REMBAU 19 Mac – Daerah Rembau akan dikenali sebagai pengeluar produk kristal terulung di negara setelah Kompleks Perkampungan Kristal beroperasi sepenuhnya menjelang pertengahan April tahun ini.
Kompleks tersebut yang dibangunkan secara usahasama di antara Rembau Crystal Sdn. Bhd. dan Yayasan Negeri Sembilan (YNS) dibina di atas sebidang tanah seluas 1.82 hektar dan terletak berhampiran dengan pekan Rembau.
Menurut Pengurus Operasi dan Pemasaran Rembau Crystal Sdn. Bhd., Hanif Maulud, idea untuk membina Kompleks Perkampungan Kristal tercetus daripada saranan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
‘‘Beliau mahukan setiap daerah di negeri ini mengeluarkan satu produk yang unik dan untuk Rembau, beliau mencadangkan produk kristal.
‘‘Kompleks ini juga berpotensi untuk dijadikan sebagai salah satu pusat tarikan pelancong kerana ia merupakan yang terbesar di negara ini,” katanya.
Tambah Hanif, kompleks yang mula beroperasi pada 1 Disember 2007 ini diubahsuai daripada Rumah Rehat Rembau dan menempatkan sebuah bangunan pejabat dan galeri, sebuah bengkel pembuatan kristal dan sebuah bengkel menganyam kristal.
Rembau Crystal Sdn. Bhd. juga sedang dalam proses mengindahkan kawasan persekitaran kompleks dan membina gerai jualan.
‘‘Pada masa ini, kami hanya menerima tempahan produk kristal dalam jumlah yang besar daripada pemborong tempatan.
‘‘Jualan runcit kepada orang ramai akan dimulakan pada pertengahan April tahun ini,” ujarnya.
Sebagai satu langkah memastikan kesinambungan kepakaran dalam pembuatan produk kristal, pihak syarikat telah mengambil 25 orang remaja lepasan sekolah sebagi pelatih dan kos latihan mereka ditaja sepenuhnya oleh YNS.
‘‘Kami hanya mengambil pelatih yang menunjukkan minat dan mempunyai kesabaran yang tinggi kerana proses pembuatan produk kristal memang agak rumit.
‘‘Mereka dilatih selama setahun oleh tiga tenaga pengajar yang berpengalaman dan berkemahiran dalam pembuatan produk kristal,” katanya.
Bila ditanya tentang rancangan jangka panjang, Hanif menyatakan selain daripada pasaran tempatan Rembau Crystal juga berhasrat untuk melebarkan sayapnya ke pasaran luar negara.
Jelas beliau, pihak syarikat sedang dalam proses mengenal pasti negara-negara yang berpotensi untuk dipasarkan produk kristal keluarannya dan seterusnya akan melantik agen-agen jualan dan pemasaran di negara-negara berkenaan.
(Utusan Malaysia, 20 Mac 2008)
0 Ulasan