Berkenalan dengan Blue and Gold Macaw


SEREMBAN 13 Mac - Hari ini saya rasa sungguh bertuah kerana diberi peluang untuk bermesra dengan burung kakak tua dari spesies Blue and Gold Macaw (Ara ararauna) yang juga merupakan burung termahal di Kedai Burung Kesayangan ini.

Walaupun pada mulanya rasa agak gementar kerana pemilik kedai tersebut telah memaklumkan burung bernilai RM12,000 ini mempunyai paruh yang sangat kuat hingga mampu memotong jari manusia, namun akhirnya saya dapat membiasakan diri dengannya.

Burung kakak tua Blue dan Gold Macaw yang diimport dari Brazil ini kelihatan begitu anggun dan megah dengan kombinasi warna biru dan kuning keemasan yang indah menghiasi tubuhnya.

Mata mergastua ini kelihatan bersinar ceria dan berteriak kegirangan sewaktu saya menyuapkannya dengan makanan bijirin yang menjadi kegemarannya.

Di samping bijirin, diet yang ideal untuk burung kakak tua Blue and Gold Macaw perlu mengandungi kekacang, sayuran segar, buah-buahan dan boleh juga diberi makanan manusia seperti roti dan nasi.

Makanan yang perlu dielakkan termasuk buah ceri, avocado, coklat dan kopi kerana ia boleh menyebabkan berlakunya keracunan kepada burung spesies ini.

Bunyi yang dikeluarkan oleh burung Blue and Gold Macaw agak kuat dan menyerupai teriakan manusia.

Saya sedikit hampa kerana saya berharap burung ini boleh bersuara seperti yang selalu saya lihat dalam filem namun ia mengeluarkan bunyi yang tidak tentu butirnya.

Blue and Gold Macaw perlukan penjagaan rapi dan pemiliknya perlu mempunyai pengetahuan yang mendalam.

(Disiarkan dalam Utusan Malaysia, 14 Mac 2008, Laporan Khas, m/s 27)
(Gambar http://www.pbase.com/staceyfox/image/74553041)

Catat Ulasan

0 Ulasan