Pelanggan gemar nuri kerana warna unik
SEREMBAN 13 Mac – ‘‘Satu kedai, ada macam-macam burung’’. Inilah antara yang digambarkan oleh pelanggan Kedai Burung Kesayangan yang terletak di sini, malahan kerana keunikan yang terserlah itu, lokasi ini sering menjadi kunjungan peminat burung peliharaan.
Kata pemiliknya, S. Singgaravelu, antara burung yang menjadi pilihan pelanggan adalah jenis nuri dan ia sentiasa memikat pembeli untuk dibawa pulang atau dipelihara kerana sifat burung itu yang manja dan mudah didekati pemiliknya.
‘‘Saya selalu menjual spesies burung nuri kerana warnanya yang menarik, tabiatnya yang manja serta mudah dibelai oleh pemiliknya. Ini adalah antara burung yang paling laris di kedai ini,” katanya.
Menurut Singgaravelu, dia tidak akan menjual burung yang tidak dibenarkan kerana itu menyalahi undang-undang.
‘‘Buat apa saya menyusahkan diri kerana kita kena ikut peraturan dan undang-undang. Kalau mahu burung yang dibenarkan untuk pemeliharaan, anda boleh datang ke sini. Tetapi untuk menyimpan burung yang menyalahi undang-undang, ia bukan di sini tempatnya,” tegasnya.
Jelas Singgaravelu, terdapat 10 jenis spesies nuri yang menjadi pilihan pelanggannya di kedainya dan antaranya adalah:
Dusky lory (Pseudeos fuscata) -
lazimnya ditemui di Indonesia dan Papua New Guinea. Burung jenis ini hidup di habitat beriklim subtropika dan tropika
di hutan tanah pamah, hutan bakau dan pergunungan.
Black-capped lory (Lorius lory) -
merupakan spesies nuri yang hidup kawasan hutan dara dan pinggir hutan di Indonesia dan Papua New Guinea.
Rainbow lory (Trichoglossus haematodus) - sejenis spesies nuri Australasia yang mendiami habitat hutan hujan tropika dan hutan bakau di Australia, bahagian timur Indonesia, Papua New Guinea, Kepulauan Solomon dan Vanuatu.
Chattering lory (Lorius garrulus) - biasanya ditemui di kawasan hutan di utara Kepuluan Maluku, Indonesia.
Yellow-bibbed lory (Lorius chlorocercus) - spesies nuri jenis ini selalu ditemui di kawasan hutan tanah pamah dan pergunungan di kawasan beriklim subtropika dan tropika di Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon.
Violet-necked lory (Eos squamata) - spesies nuri yang hidup di habitat hutan tanah pamah dan hutan bakau beriklim tropika di Indonesia.
0 Ulasan