Penjual burung perlu tabah
MUKADIMAH
RAMAI yang memelihara binatang kesayangan seperti burung, tikus (hamster), kera, iguana, arnab, kucing, anjing dan banyak lagi, tetapi tidak ramai yang tahu bagaimana untuk menjaga kesihatan binatang itu agar terus hidup dan terpelihara.
Tidak ramai juga yang mengetahui bahawa binatang peliharaan itu dilindungi serta tertakluk kepada peruntukan undang-undang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta memerlukan lesen pemeliharaan dan penjualannya.
Wartawan HUSSAINI AMRAN dan jurugambar MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN meninjau aktiviti penjualan binatang kesayangan ini, khususnya burung yang mendapat pasaran baik di kalangan penggemar haiwan dari luar negara ini.
Ikutilah laporan khas survival penjual burung dan pasarannya di negeri ini.'
SEREMBAN 13 Mac – Setiap pengunjung ke Kedai Burung Kesayangan di sini pasti terhibur dengan kicauan merdu lebih 1,000 ekor burung pelbagai spesies yang dipamerkan untuk jualan.
Menurut pemilik, S. Singgaravelu, 27, beliau memulakan perniagaan ini dua tahun lalu dengan modal permulaan sebanyak RM100,000.
‘‘Saya membuka kedai ini kerana saya sangat meminati dan menyayangi burung. Sebab itu saya namakan kedai ini Kedai Burung Kesayangan.
‘‘Duit untuk memulakan perniagaan ini pun saya kumpul sendiri dari umur 10 tahun dan saya tidak memohon pinjaman daripada bank,’’ kata Singgaravelu ketika ditemui di kedainya di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Persatuan Seni Suara Burung Kuala Lumpur dan Selangor menguruskan kedai itu dengan dibantu oleh empat pekerja.
Jelas Singgaravelu, kebanyakan burung yang dijual di kedainya diimport dari negara Amerika Selatan.
‘‘Contohnya, burung kakak tua jenis Blue and Gold Macaw (Ara ararauna) yang bernilai RM12,000 ini dibawa masuk dari Brazil dan ia merupakan burung termahal yang dijual di sini,” ujarnya.
Burung-burung di kedai ini dijual dengan harga serendah RM2.50 dan pelanggan juga boleh membeli barang lain yang berkaitan dengan burung seperti sangkar, makanan, ubatan dan kaset rakaman suara burung di sini.
Beliau juga giat menyertai pertandingan seni suara burung dan pernah memenangi beberapa pertandingan yang dianjurkan oleh Persatuan Seni Suara Burung Kuala Lumpur dan Selangor pada tahun 2006 dan 2007.
‘‘Selain untuk pertandingan suara burung, orang ramai boleh membeli burung untuk dijadikan hadiah kepada anak. Pada pandangan saya, amalan sebegini memang sangat baik kerana ia boleh melatih kanak-kanak menyayangi haiwan terutamanya burung,’’ jelas Singgaravelu.
Tambah Singgaravelu, kebiasaannya burung akan mengambil masa sehingga sembilan bulan untuk membiasakan diri dengan tuan yang baru.
‘‘Bagi pelanggan yang tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang burung, biasanya saya menasihatkan mereka untuk membeli anak burung supaya mereka mudah belajar dan faham tentang tabiat burung yang dibeli,’’ katanya.
Jelasnya, survival menjual burung ini memerlukan ketabahan yang tinggi serta perlu mendapatkan lesen sah daripada Perhilitan kerana binatang ini dikawal dan dibenarkan untuk jualan.
‘‘Memang sukar untuk memelihara burung ini jika tidak berminat kerana binatang ini perlu ‘dimanjakan’ agar persekitarannya terjaga. Paling utama, burung tidak boleh diserang penyakit kerana ia boleh menyebabkan berlaku wabak dan kematian.
‘‘Setiap hari, kita memeriksa burung-burung ini supaya sentiasa sihat. Kawasan jualan juga sentiasa dibersihkan. Kita tidak mahu kotoran di kawasan ini, yang boleh menyebabkan kesihatan burung terganggu,” jelasnya.
(Disiarkan dalam Utusan Malaysia, 14 Mac 2008, Laporan Khas, m/s 27)
0 Ulasan