Angkasawan negara ‘mendarat’ di Tampin
TAMPIN 3 Mac – Penduduk Taman Indah, di sini, semalam, berpeluang beramah mesra dengan Angkasawan Negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Mejar Dr. Faiz Khaleed.
Kedua-dua Angkasawan Negara itu mengiringi Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor ke majlis perasmian Tabika Perpaduan Taman Indah di sini.
"Walaupun kita baru 50 tahun merdeka, kita boleh mendabik dada kerana kini Malaysia setaraf dengan negara-negara maju.
"Misi Sheikh Muszaphar ke angkasa lepas merupakan satu contoh terbaik kejayaan Malaysia di peringkat global," kata Shaziman ketika merasmikan tabika tersebut di sini semalam.
Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional negeri, Abdul Halim Omar dan calon BN untuk merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Repah, Yap Seong Fook.
Tambah Shaziman, sistem pendidikan negara yang terancang dan teratur menyumbang kepada kejayaan yang dicapai oleh anak-anak Malaysia hari ini di dalam dan di luar negara.
"Sehubungan itu, saya meminta semua ibu bapa supaya tidak memperjudikan masa depan anak-anak mereka dengan bereksperimen mengundi calon pembangkang dalam pilihan raya nanti. Hanya BN yang mampu menjamin masa depan yang selamat, aman dan makmur kepada generasi muda kita," ujar beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kerusi Parlimen Tampin yang disandangnya pada Pilihan Raya Umum Ke-12 ini.
Shaziman berkata, negara-negara jiran seperti Indonesia dan Filipina lebih awal mencapai kemerdekaan daripada negara kita, namun Malaysia lebih jauh di hadapan berbanding dengan mereka dalam segala aspek.
Tegas beliau, setiap rakyat Malaysia berpeluang mencapai impian jika mereka berusaha dan bekerja keras dan kerajaan sentiasa menyediakan pelbagai galakan dan insentif ke arah itu.
Sementara itu, Sheikh Muszaphar menggesa golongan muda supaya bersikap yakin kepada kemampuan diri sendiri dalam usaha mencapai impian.
"Saya juga menyeru kepada ibu bapa yang hadir pada malam ini supaya menghargai usaha-usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan selama ini dengan mengundi calon yang terbaik pada pilihan raya nanti," kata beliau dalam ucapan ringkasnya.
(Disiarkan dalam Utusan Malaysia, 4 Mac 2008)
0 Ulasan