Mustapha berikrar majukan Lenggeng

Mustapha berikrar majukan Lenggeng

SEREMBAN 28 Feb. - Calon muka baru Barisan Nasional (BN) untuk merebut kerusi DUN Lenggeng, Mustapha Salim, 50, bertekad untuk membangunkan infrastruktur dan kegiatan sosioekonomi di kawasan itu sekiranya diberi mandat oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 ini.

Menurut beliau, pada masa ini terdapat beberapa projek pembangunan yang sedang dijalankan oleh kerajaan seperti menaik taraf jalan dan jambatan.

''Selain itu, kebanyakan kampung-kampung di kawasan ini sudah pun dilengkapi dengan kemudahan awam seperti balai raya dan balai masyarakat.

''Saya akan memberi fokus terhadap projek-projek yang boleh meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat seperti membina premis perniagaan dan menggalakkan pertumbuhan industri desa," kata Mustapha ketika ditemui di sini hari ini.

Mustapha, seorang bekas guru pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan Pendita Zaaba, Seremban merupakan seorang lepasan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pendidikan Khas dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Seremban dan Setiausaha UMNO Cawangan Lenggeng telah dipilih sebagai calon BN bagi menggantikan Datuk Ishak Ismail, bekas penyandang kerusi DUN Lenggeng.

''Saya percaya majoriti penduduk di kawasan ini mahukan perubahan dan akan memberi sokongan yang padu kepada saya pada hari mengundi nanti.

''Mungkin ada segelintir yang taksub kepada seseorang pemimpin namun saya percaya isu itu tidak akan menjejaskan sokongan rakyat kepada BN," jelas Mustapha berhubung dengan isu pencalonannya itu.

Tambah Mustapha, beliau optimis akan dipilih sebagai wakil rakyat dalam pilihan raya umum kali ini walaupun ditentang oleh Zulkefly Omar yang merupakan Pesuruhjaya Pas negeri.

Kata beliau, isu-isu yang dibangkitkan oleh calon pembangkang hanya retorik semata-mata dan agenda-agenda yang mereka ketengahkan seperti menurunkan harga minyak dan menubuhkan negara kebajikan adalah tidak praktikal.

''Saya pasti rakyat lebih bijak menilai dan hanya BN yang memiliki kemampuan untuk membangunkan kawasan ini," kata Mustapha.

(Disiarkan dalam Utusan Malaysia, 29 Februari 2008)

Catat Ulasan

0 Ulasan