Orang Asli tidak dipinggir

Orang Asli tidak dipinggir

JELEBU 28 Feb. - Masyarakat Orang Asli di daerah ini tidak pernah ketinggalan menikmati arus pembangunan kerana nasib mereka sentiasa dibela oleh kerajaan.

Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang bagi Pilihan Raya Umum Ke-12, Datuk Yunus Rahmat, 52, berkata, sebahagian besar Orang Asli di kawasan ini telah dipindahkan ke penempatan yang lebih selesa.

''Kerajaan sentiasa prihatin dengan isu-isu berkaitan dengan Orang Asli dan sentiasa bertindak secara proaktif untuk meningkatkan taraf hidup mereka," katanya.

Yunus berkata demikian kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ramah mesra di kawasan penempatan paru Kampung Orang Asli Ulu Kelaka di sini hari ini.

Menurut beliau, kawasan penempatan yang dibina oleh kerajaan itu mula didiami sejak tahun 2003 dan kini terdapat hampir 200 penduduk Orang Asli di situ.

Kehadiran Yunus disambut oleh Ketua Masyarakat Orang Asli di penempatan itu, Batin Adeng Geboi.

Tambah beliau, kerajaan telah mendirikan 30 buah rumah yang dilengkapi dengan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air, jalan raya dan balai masyarakat.

''Semua kemudahan yang disediakan ini membuktikan BN sentiasa mengambil berat tentang hal ehwal masyarakat orang asli dan saya yakin mereka menyambut baik semua usaha kerajaan untuk memajukan mereka.

''Saya juga yakin akan dapat berkhidmat dengan lebih baik lagi kepada mereka sekiranya terpilih sebagai ADUN Klawang kerana saya bergaul dengan mereka sejak dari kecil, malah saya boleh bertutur dalam dialek Orang Asli," jelasnya.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan 'Pak Yunus' di kalangan penduduk tempatan berkata, pengalamannya sebagai Ahli Parlimen Jelebu dari tahun 1995 hingga 1999 akan memberikannya kelebihan berbanding calon Pas, Saiful Bahri Jaaman dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 ini.

Sebelum menceburi bidang politik, Yunus yang berkelulusan ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dan Kemanusiaan (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang.

(Disiarkan dalam Utusan Malaysia, 29 Februari 2008)

Catat Ulasan

0 Ulasan