Pelbagai kemudahan disediakan untuk rakyat
TAMPIN 20 Feb. - Biarpun daerah Tampin giat dalam pertumbuhan pembangunan berbentuk komersial namun sektor pelancongan tidak dilupakan.
Banyak infrastruktur ini sedang dinaik taraf bagi meningkatkan keselesaan pengunjung malahan landskap muka buminya juga sedang mengalami banyak perubahan bagi menceriakan lagi daerah ini.
Berikut adalah fakta pelancongan dan tempat menarik di Tampin yang boleh dikunjungi orang ramai.
* Dataran Tampin - terletak berhampiran dengan Kompleks Sukan Tampin dan menjadi salah sebuah lokasi tumpuan penduduk untuk melakukan aktiviti riadah pada hari biasa dan hujung minggu.
Antara kemudahan yang ada ialah taman permainan kanak-kanak yang serba lengkap, trek jogging, alatan senaman, objek mercu tanda yang menarik dan pentas terbuka.
* Kompleks Sukan Tampin - merupakan padang bola sepak bersaiz Olimpik dengan dilitupi rumput daripada jenis bermuda. Ia dibuka kepada awam pada sebelah pagi untuk berjogging dan untuk sewaan bagi tujuan permainan bola sepak. Padang bola ini juga dilengkapi dengan bilik persalinan pemain, tandas, balapan untuk sukan olahraga, trek lompat jauh dan trek lontar cakera/peluru.
* Taman Tasik Tampin - terletak kira-kira 400 meter dari Lay By. Dilengkapi dengan peralatan permainan kanak-kanak, menara pandang jauh, wakaf, kerusi rehat dan trek jogging.
* Taman Rekreasi Tampin - kedudukan taman ini begitu strategik iaitu terletak berdekatan dengan Hospital Daerah Tampin, Rumah Rehat Tampin dan juga Kompleks Sukan Tampin. Selain kehijauan alam semulajadinya, taman rekreasi ini turut dilengkapi pelbagai kemudahan seperti alat permainan kanak-kanak, gelanggang badminton, gelanggang tenis dan trek jogging yang panjang.
* Gunung Tampin - merupakan pengakhiran kepada Banjaran Titiwangsa (dari segi geografi). Beberapa kolam telah didirikan di atas gunung ini bagi membolehkan para pengunjung menikmati kejernihan air yang masih terpelihara ini.
* Lay By Tampin - merupakan kawasan hentian berkonsep rawat dan rehat (R & R).
(Disiarkan dalam Utusan Malaysia, m/s 26, 21 Februari 2008)
0 Ulasan