Mampu jadi bandar terancang

Mampu jadi bandar terancang


Bangunan pihak berkuasa tempatan, Majlis Daerah Tampin (MDT).


TAMPIN 20 Feb. - Pekan Tampin mampu berkembang dan tidak mustahil pada suatu hari nanti akan menjadi sebuah bandar yang terancang, kata Yang Dipertua Majlis Daerah Tampin (MDT), Datuk Mohd. Yusuf Yunus di sini hari ini.

Katanya, dengan kedudukan yang hampir dengan Melaka, Tampin mempunyai kelebihan dalam aspek perdagangan, pelaburan serta penyediaan peluang pekerjaan kepada rakyat.

''Secara keseluruhannya, saya berbangga dengan kemajuan pesat di pekan Tampin hasil daripada kerancakan aktiviti pembangunan yang dijalankan oleh pihak kerajaan dan swasta.

''Penduduk Tampin kini boleh membeli-belah dengan selesa, tambahan pula dengan lambakan barangan dagangan yang boleh diperoleh dengan mudah di sini," kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, Tampin akan menjadi bertambah sibuk apabila musim perayaan kerana orang ramai yang bukan sahaja dari kalangan warga Negeri Sembilan tetapi yang datang dari Alor Gajah dan Pulau Sebang, Melaka akan bertumpu ke situ.

Tambah Mohd. Yusuf lagi, pihak MDT juga telah melaksanakan projek pengindahan dan pencahayaan di pekan ini dan sebanyak RM2.8 juta dibelanjakan pada tahun lalu untuk tujuan tersebut.

''Selaras dengan objektif untuk menjadikan pekan Tampin yang indah, bersih dan selamat, MDT memberi tumpuan kepada kerja-kerja menaik taraf kemudahan riadah dan pemasangan tiang-tiang lampu sepanjang tahun lalu," ujar Mohd. Yusuf.

Beliau menambah, orang ramai yang berhasrat melayari internet boleh berbuat demikian secara percuma menerusi kemudahan capaian internet jalur lebar di Laman Segar yang terletak bersebelahan dengan bangunan MDT.

''Semua kemudahan ini kita sediakan untuk rakyat. Kita mahu rakyat bersama-sama menikmati hasil pembangunan yang dibuat oleh kerajaan,'' jelas beliau.

(Disiarkan dalam Utusan Malaysia, m/s 26, 21 Februari 2008)

Catat Ulasan

0 Ulasan