Penduduk gembira Tampin pesat membangun

Penduduk gembira Tampin pesat membangun

Mukadimah
SEBUT sahaja daerah Tampin, kita sudah membayangkan kesibukan pekan itu yang menjadi penghubung antara penduduk di kawasan Repah, Tebung, Ayer Kuning dan Gemencheh.

Di sini terletaknya beberapa pusat pentadbiran kerajaan, selain hospital, stesen bas, pusat membeli-belah, taman rekreasi dan pelbagai lagi.

Tampin kini sudah pesat dan pembangunannya juga kian melata.

Dari sektor industri, perkhidmatan kesihatan, perniagaan, koperasi, ternakan, perbankan dan pendidikan, Tampin bukan satu daerah yang ketinggalan.

Wartawan HUSSAINI AMRAN meninjau perkembangan pembangunan di Tampin dengan menemubual penduduk di situ terhadap kepesatan pekan yang telah dimajukan kerajaan Barisan Nasional (BN) itu. Ikutilah laporan khas ini.

TAMPIN 20 Feb. – Masih ingat pada lirik lagu ini, ‘‘Kalau buleh nak bising- bising macam pokan Tampin (Kalau boleh nak bising-bising macam pekan Tampin).”

Tentu anda tidak melupakan lirik lagu Apo Nak Dikato yang pernah dipopularkan oleh kumpulan The Blues Gang satu ketika dahulu, di mana jelas sinonimnya merujuk kepada satu senario kerancakan aktiviti pembangunan yang berlaku di pekan Tampin ini.

Dengan kedudukan yang begitu strategik – sempadan Negeri Sembilan dan Melaka, Tampin hari ini menjadi tumpuan bukan sahaja oleh rakyat Negeri Sembilan tetapi juga mereka yang duduk di Pulau Sebang dan Alor Gajah di Melaka.

Bagi penduduk di pekan Tampin ini, mereka telah merasakan perubahan itu dan cukup berpuas hati dengan limpahan pembangunan yang dilakukan oleh kerajaan BN.

Pesara tentera, Wahab Harun, 65, berkata, kerancakan pembangunan di pekan Tampin memang pantas. Dahulu katanya, Pusat Perniagaan Tampin Square merupakan padang bola, tetapi hari ini ia diubah menjadi gedung perniagaan.

‘‘Orang akan datang ke Tampin untuk membeli belah. Di sini semua ada dan pekan Tampin tidak sunyi daripada orang ramai.

‘‘Bila ada Pusat Perniagaan Tampin Square, Tampin Shopping Centre, Pasaraya Giant dan The Store, penduduk Tampin tidak perlu lagi ke Seremban atau Kuala Lumpur untuk membeli-belah kerana beraneka jenis barang keperluan boleh didapati di sini,” kata Wahab.

Sementara itu, pesara kerajaan, Talib Othman, 71 berkata, walaupun menetap di Merlimau, Melaka tetapi dia rasa lebih selesa untuk membeli-belah di Tampin kerana terdapat banyak pilihan di sini.

Peniaga, Josephine, 30 pula memberitahu, pembangunan pesat yang dilaksanakan oleh kerajaan di Tampin memberi impak yang positif kepada aktiviti perniagaan.

Tambahnya, apa yang dilakukan oleh kerajaan untuk membangunkan Tampin telah memberi kesan kepada keselesaan penduduk, malahan lebih penting lagi segala kemudahan telah disediakan untuk rakyat.

‘‘Saya berterima kasih kepada kerajaan yang memerintah kerana memberikan komitmen yang tinggi untuk membangunkan pekan ini dan seterusnya meningkatkan taraf ekonomi penduduk,'' katanya.

Dalam pada itu, kerani firma guaman, Ambalagan Gopal, 39, berpendapat pembangunan yang berlaku di sini lebih pesat jika dibandingkan dengan daerah berhampiran.

‘‘Tampin mempunyai infrastruktur seperti hospital, dewan orang ramai, taman-taman rekreasi, stadium dan sekolah yang lengkap serta mencukupi untuk menampung keperluan penduduk setempat," ujarnya.

(Disiarkan dalam Utusan Malaysia, m/s 26, 21 Februari 2008)

Catat Ulasan

0 Ulasan