Mini ASEAN sangat menyedihkan, Mini Malaysia kurang berseri

Sebuah rumah di Mini ASEAN rosak akibat dihempap pokok yang tumbang.



Kali terakhir saya mengunjungi Mini Malaysia di Ayer Keroh, Melaka adalah pada tahun 1987. Ketika itu, saya masih di darjah enam dan mengikuti rombongan sekolah selama sehari melawat tempat-tempat menarik sekitar Melaka. Kalau tidak silap, Mini Malaysia pada masa itu baru dibuka dan rumah-rumah mewakili setiap negeri masih baharu dan bersih.

Apabila mengenang sudah lebih 30 tahun tidak ke sana sedangkan jarak rumah kami dan Ayer Keroh tidak begitu jauh, saya membawa keluarga melawat Mini Malaysia semalam. Saya ingin mendedahkan anak-anak dengan keunikan seni bina rumah tradisional Melayu dan kaum pribumi di Sabah dan Sarawak.

Anak tangga di sebuah rumah di Mini Malaysia kelihatan agak uzur.

Secara keseluruhan, keadaan di Mini Malaysia masih memuaskan, walaupun kurang berseri. Cuma ada beberapa rumah yang kurang diselenggara dan kebersihannya boleh dipertingkatkan. Terdapat banyak debu di lantai sehingga menyebabkan tapak kaki menjadi hitam. 

Piring alas lingkaran penghalau nyamuk di bawah meja solek.


Piring alas lingkaran penghalau nyamuk juga sering mencacatkan pemandangan. Pencahayaan juga kurang memuaskan, menyebabkan suasana di dalam rumah tampak gelap.

Rumah Indonesia.

Buat kali pertama, saya mengunjungi Mini ASEAN yang mempamerkan rumah-rumah mewakili negara-negara anggota pertubuhan serantau itu. Namun, keterujaan saya yang pada mulanya membara dalam cuaca yang panas terik terus menjadi malap apabila melihat keadaan di kawasan tersebut yang sangat menyedihkan.

Rumah Laos.

Sebaik sahaja memasuki kawasan Mini ASEAN, saya melihat sebuah rumah tradisional yang didirikan di pinggir tasik kecil musnah sebahagiannya akibat dihempap pokok yang tumbang. Tidak pasti pula rumah itu mewakili negara mana kerana saya tidak nampak papan tanda yang memaparkan maklumat tersebut.

Rumah Kemboja.

Rumah-rumah di perkampungan Indonesia, Kemboja dan Laos juga mengalami kerosakan. Rumah agam yang mewakili Singapura pula kelihatan seperti lokasi penggambaran filem seram.

Rumah Singapura.

Tidak diketahui mengapa situasi yang mencolok mata itu boleh berlaku. Mungkinkah disebabkan oleh kurang peruntukan? Sayang kalau lokasi tarikan pelancong yang sepatutnya dipulihara setiap masa itu terbiar begitu sahaja.

Sekurang-kurangnya, tutuplah dahulu kawasan Mini ASEAN agar tidak menimbulkan sebarang risiko kejadian tidak diingini terhadap pengunjung. Tidak memadai kalau sekadar meletakkan notis bagi mengingatkan pengunjung bahawa apa sahaja yang berlaku di kawasan tersebut adalah di atas tanggungan mereka sendiri.

Pengunjung juga mesti dimaklumkan terlebih dahulu tentang situasi sebenar di Mini ASEAN agar mereka tidak terlalu berharap. Jika tidak mampu hendak selenggara semuanya, jagalah Mini Malaysia dahulu. Jangan biarkan rumah-rumah tradisional di Mini Malaysia terus hilang seri dan usang ditelan zaman.

Kerajaan Negeri Melaka juga perlu bersikap lebih cakna dan prihatin dalam soal ini kerana ia berupaya menjejaskan imej Melaka sebagai destinasi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara. Mini Malaysia dan Mini ASEAN pun tidak jauh dengan Seri Bendahara. Elok juga kalau Ketua Menteri luangkan masa turun padang untuk melihat sendiri keadaan sebenar di sana.

Catat Ulasan

0 Ulasan