Tindakan pembangkang yang mengejek Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan gelaran ‘Perdana Menteri telefon’ disifatkan sebagai bukti sikap tidak matang dan cetek dalam memahami peranan diplomasi antarabangsa.
Ketua PKR Cabang Pasir Gudang, Murad Jailani berkata, segelintir pemimpin dan penyokong pembangkang itu gagal menyedari bahawa langkah diambil Perdana Menteri adalah sebahagian daripada usaha diplomasi yang telah menunjukkan hasil positif.
“Hubungan baik PMX dengan pemimpin dunia dan rakan serantau telah membuka ruang besar kepada Malaysia, bukan sahaja dalam memperkukuh ekonomi tetapi dalam membantu isu-isu kemanusiaan seperti pembebasan peserta misi sumud baru-baru ini yang berjaya diselesaikan melalui saluran diplomatik.
“Ironinya, sewaktu Perikatan Nasional (PN) memegang tampuk kuasa, banyak urusan penting negara gagal diselesaikan dengan baik,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaGazette hari ini.
Menurut Murad, ketika PN mentadbir, pelaburan asing merosot dengan ketara akibat hilangnya keyakinan pelabur antarabangsa selain hubungan luar negara yang lemah sehingga Malaysia dilihat terpinggir di peringkat serantau.
Dakwanya, keadaan itu diburukkan lagi dengan pentadbiran yang tidak stabil, pertukaran menteri yang kerap serta dasar yang tidak konsisten.
Jelasnya, kelemahan itu turut menyebabkan bantuan rakyat gagal diurus dengan baik sehingga banyak bantuan lambat disalurkan atau tidak sampai kepada penerima.
“Krisis kepercayaan dalam kalangan pelabur dan masyarakat antarabangsa terhadap keutuhan politik Malaysia,” dakwanya lagi.
Murad menegaskan, cubaan memperlekeh usaha Anwar yang giat memperkukuh imej Malaysia di mata dunia hanyalah tindakan murahan untuk menutup kegagalan sendiri.
“Rakyat hari ini lebih matang menilai, mereka melihat bagaimana pendekatan diplomasi dan hubungan antarabangsa PMX telah mula membuahkan hasil kepada kestabilan ekonomi, pelaburan baharu dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Semalam, Anwar dilaporkan menolak dakwaan itu dengan menjelaskan bahawa usahanya menghubungi pemimpin dunia bukan sesuatu yang sia-sia, sebaliknya telah membantu menyelesaikan beberapa konflik serantau termasuk antara Kemboja dan Thailand.
BACA LAGI
0 Ulasan