Rafizi macam tak berharga pada PKR

 

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyifatkan politik populariti masih menguasai landskap politik negara apabila ramai pemimpin lebih menonjol kerana gaya dan janji, bukan kerana keupayaan sebenar mentadbir.

Beliau berkata, pemimpin populis sering disukai rakyat kerana tutur kata dan janjinya, namun apabila diberi tanggungjawab sebagai menteri, barulah jelas kemampuan sebenar mereka.

“Politik populariti masih menguasai politik negara hari ini. Rakyat mudah terpengaruh dengan pemimpin yang populis kerana cakapnya, janjinya dan ada kalanya kerana fesyennya. 

"Tetapi apabila dilantik jadi menteri, baru rakyat nampak dia pemimpin berkesan atau tidak. Pemimpin jenis ini biasanya tidak boleh bertahan lama. Hatta partinya sendiri sanggup meminggirkan mereka lebih awal,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Mohd. Puad mempersoalkan sama ada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli tergolong dalam kategori pemimpin sebegitu apabila PKR dilihat tidak mengalami kerugian walaupun meminggirkannya.

“Jawatan Menteri Ekonomi kosong sampai sekarang. Portfolio itu hanya token untuk balas budi Rafizi menumbangkan BN. 

"Pada PKR dia macam tidak berharga. Tengku Zafrul lebih berharga. PKR sanggup curi Zafrul daripada UMNO. Rafizi pula dibuang begitu sahaja,” katanya.

Beliau turut membandingkan Rafizi dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menurutnya bukan pemimpin populis pada awalnya, sebaliknya dikenali kerana keberaniannya menegur kepimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj.

“Apabila dilantik Menteri dan PM ke-4, Tun M dilihat agenda centric. Sebab itu dia mampu bertahan lama hingga 22 tahun walau dianggap autokratik dan mengamalkan kronisme. 

"Tetapi bila dia menggunakan populis untuk jadi PM ke-7, dia bertahan 22 bulan sahaja. Bahkan dia dijatuhkan dari dalam melalui Sheraton Move,” katanya.

Menurutnya, Rafizi sendiri mengakui tidak lagi mempunyai masa depan dalam PKR kerana pemimpin populis bukanlah pemimpin akar umbi dan sukar membuat kemunculan semula setelah dipinggirkan.

“Rafizi betul bila mengatakan tidak lagi mempunyai masa depan dalam PKR. Pemimpin populis biasanya bukan pemimpin grass root. Mereka mudah dipinggirkan dan susah buat come back. 

"Maka tidak tepat menyamakan Rafizi dengan Tun M dan Anwar yang boleh jadi PM walaupun awalnya terpinggir,” katanya.

Katanya, Rafizi bukan pemimpin penyatu kerana sifatnya yang terlalu solo dan agresif hingga menyukarkan peluang untuk menjadi Perdana Menteri.

“Dia jenis solo. Ikut suka dia, agresif dan melulu. Pemimpin tidak boleh dabik dada dia sahaja yang pandai. 

"Cara Rafizi berpolitik memang sukar untuk dia jadi PM. Tetapi Rafizi kata, dia tidak ada cita cita jadi PM. Kalau begitu jadi pengkritik bebas lagi baik,” katanya.

Mohd. Puad turut menyindir Rafizi agar menukar nama program siarannya daripada ‘Yang Bakar Menteri’ kepada ‘Yang Bungkus Menteri’ memandangkan beliau tidak lagi memegang jawatan menteri.

Podcast Rafizi (YBM) wajar diubah nama daripada Yang Bakar Menteri (YBM) kepada Yang Berhenti Menteri (YBM). Kini, Yang Bungkus Menteri (YBM). Apakah Fadhlina mangsa pertama?” katanya.

BACA LAGI 






Catat Ulasan

0 Ulasan