MIC dijangka keluar dari Barisan Nasional (BN) pada November depan, dakwa bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menerusi video yang dimuat naik di TikTok.
Beliau berkata, perkara itu diakui sendiri oleh Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan ketika sambutan Deepavali di kediamannya semalam.
Menurut Tajuddin, Saravanan turut menyatakan rasa tidak puas hati terhadap beberapa perkara yang mendorong kepada keputusan tersebut.
“Tapi saya tidak payah sebut di sinilah sensitif dan sulit,” katanya.
Walaupun Saravanan dilihat sudah membuat keputusan, Tajuddin berharap MIC dapat mempertimbangkan semula langkah itu.
“Walau macam mana pun, saya nasihatkan beliau (Saravanan) supaya mempertimbangkan keputusannya. Kerana kita (UMNO) sudah lama bersama dengan MIC, dalam ikatan itu, dalam BN kita sudah harungi suka duka bersama.
“Dalam politik Malaysia ini banyak sumbangan MIC terhadap kemajuan dan pembangunan negara kita dan semua rakyat Malaysia berbagai bangsa. Jadi saya nasihatkan beliau kalau beliau pertimbangkan semula.
“Beliau nampaknya bertegas mungkin beliau akan dapat petunjuk dan hidayah, saya harap begitu supaya MIC akan tetap bersama BN,” katanya lagi.
Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan parti itu bersikap terbuka sama ada MIC mahu kekal atau sebaliknya dalam gabungan berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, MIC akan membuat keputusan yang bijak.
Mesyuarat Agung Tahunan MIC yang dijadual berlangsung pada 16 November depan dijangka menjadi medan untuk memuktamadkan kedudukan parti itu dalam BN.
0 Ulasan