UMNO Kangar kecam rakaman audio tular, junjung kedaulatan Raja Perlis

 

UMNO Bahagian Kangar mengecam kandungan satu rakaman audio tular yang dikaitkan dengan Menteri Besar Perlis kerana didakwa mengandungi kenyataan sensitif yang menjejaskan imej negeri itu.

Setiausahanya, Sabri Ismail berkata, rakaman berkenaan menimbulkan persepsi negatif terhadap kewibawaan Institusi Raja Negeri Perlis.

“Sekiranya hal ini benar, maka ia merupakan satu pelanggaran adab dan prinsip kesetiaan yang amat serius, serta menyinggung maruah negeri yang berdaulat.

“Institusi Raja Negeri Perlis bukan sekadar lambang perlembagaan, tetapi ia juga merupakan payung keadilan dan tonggak perpaduan seluruh rakyat negeri ini. 

"Setiap pemimpin negeri wajib menjunjung tinggi kedaulatan Tuanku Raja Perlis sebagai ketua agama Islam dan simbol penyatuan rakyat.

“Menyentuh atau memperlekehkan kedudukan Baginda Tuanku secara terbuka adalah satu tindakan biadab yang bertentangan dengan nilai Islam, adat Melayu serta perlembagaan negeri,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sabri turut menegaskan rakaman itu mencerminkan perpecahan dalaman yang sedang melanda Perikatan Nasional (PN) di Perlis.

“UMNO Bahagian Kangar tidak berhasrat untuk mencampuri urusan mereka, namun kegagalan mengurus perpaduan dalam kerajaan negeri menimbulkan persoalan besar tentang keupayaan mereka mentadbir negeri Perlis dengan baik dan berhemah,” ujar beliau.

Berikutan itu, UMNO Bahagian Kangar menegaskan empat pendirian utama, antaranya menjunjung kasih serta mempertahankan kemuliaan Institusi Raja Negeri Perlis sebagai asas maruah dan kestabilan negeri.

Selain itu, UMNO Bahagian Kangar menggesa siasatan segera dan telus oleh pihak berkuasa bagi menentukan ketulenan audio tersebut serta mengambil tindakan sewajarnya tanpa kompromi.

UMNO Bahagian Kangar juga menolak budaya politik yang kotor dan beremosi yang mencemarkan adab serta menimbulkan kebencian rakyat, selain menyeru seluruh rakyat Perlis agar kekal beradab, tenang dan tidak terpengaruh dengan provokasi politik yang boleh menggugat keharmonian negeri.

BACA LAGI 







Catat Ulasan

0 Ulasan