Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui pengalaman lebih sedekad di penjara menjadi titik perubahan terbesar dalam kehidupannya dan membuka mata terhadap sisi gelap sistem keadilan negara.
“Saya mahu pastikan tiada siapa lagi melalui apa yang pernah saya lalui,” katanya ketika berkongsi kisah sewaktu di penjara dahulu dalam sesi In Conversation with Anwar Ibrahim sempena Forum Ilmu PNB 2025 di Kuala Lumpur semalam.
Menurut beliau, tempoh itu memberi ruang untuk memahami bagaimana undang-undang boleh dijadikan alat politik hingga menyebabkan manusia kehilangan maruah hanya kerana perbezaan kelas sosial.
“Pernah sekali, ketika saya dibawa berjalan bersama pengawal ke kereta untuk dibawa ke mahkamah, saya ternampak seorang budak muda dengan mata lebam. Saya memberi salam kepada pengawal dan bertanya, ‘boleh saya cakap sekejap dengan budak itu?’ dan pengawal jawab, ‘boleh, tapi sekejap saja, satu dua minit, jangan lama nanti CCTV nampak’.
“Rupanya seorang anak muda ini mencuri seluar jeans, dipenjara berbulan-bulan, hidup dalam kemiskinan tanpa peguam. Sedangkan kita tahu sistem ini, bagaimana ia berfungsi pada masa itu. Saya belajar banyak perkara tentang keadilan.
“Bayangkan, budak ini hanya curi sehelai seluar jeans, tapi ramai orang dalam golongan elit politik curi berbilion ringgit dan mereka masih dapat kenaikan pangkat, daripada Datuk Seri jadi Tan Sri, jadi Tun. Saya tahu, sebagai Perdana Menteri saya kena berhati-hati dengan apa yang saya sebut, tapi saya juga manusia. Bagaimana kita boleh terima keadaan begini?” katanya.
Anwar turut mengimbau pengalaman dipenjara yang memperlihatkan jurang ketara antara golongan kaya dan miskin dalam menghadapi sistem keadilan.
“Akhirnya pesalah-pesalah ini dibawa ke mahkamah, dan ada majistret yang menjatuhkan hukuman paling maksimum. Ya, mereka belajar undang-undang di universiti tapi mereka tidak pernah belajar tentang keadilan, mereka hanya tahu tentang teknikal undang-undang,” ujarnya.
Anwar menegaskan, beliau tidak menolak keperluan menjatuhkan hukuman berat bagi kesalahan serius seperti rogol, namun menilai perlu ada timbang rasa terhadap kes tertentu melibatkan warga asing yang menjadi mangsa ejen dan dijatuhkan hukuman maksimum.
“Saya bukan kata kita boleh benarkan pekerja asing datang tanpa permit, tapi kita mesti melayan manusia sebagai manusia.”
Katanya lagi, pengalaman di penjara membuka ruang sebenar untuk memahami nilai empati dan keadilan.
“Jadi apa yang saya pelajari? Saya telah bercakap tentang kebebasan dan keadilan sepanjang hidup saya, tapi di penjara, saya benar-benar memahami erti empati, mengapa sangat penting untuk bebas, untuk adil, untuk berbelas kasihan, untuk berlaku adil, semuanya hanya boleh difahami melalui pengalaman.
“Allah menguji saya. Ujian dan dugaan ini tidak mudah, berat untuk saya, Azizah, anak-anak dan sahabat-sahabat. Tapi sekarang saya berada di sini sebagai Perdana Menteri. Apa yang saya pelajari? Saya belajar banyak perkara.
“Apa yang saya mahu lakukan? Saya mahu melakukan yang terbaik dengan ujian ini. Tiada siapa lagi patut diperlakukan seperti saya diperlakukan. Semoga Allah membantu kita semua,” katanya.
0 Ulasan