Gara-gara perangai kurang cerdik Ketua Srikandi PKR, Fadhlina Sidek kembali menjadi mangsa troll netizen.
Hari ini, tular gambar janaan AI membayangkan keadaan Menteri Pendidikan itu tertidur di dalam tandas akibat keletihan.
Nampaknya strategi cuba meraih simpati rakyat terhadap Fadhlina tidak berapa menjadi. Sudah bertukar jadi senjata makan tuan.
Sejak dari mula memegang jawatan Menteri Pendidikan, Fadhlina sentiasa menjadi sasaran serangan netizen. Seolah-olah semua serba tak kena.
Beliau cuba memberi yang terbaik namun usahanya ditenggelami oleh isu-isu besar seperti kes Allahyarham Zara Qairina, kes rogol di sebuah sekolah di Melaka dan pembunuhan pelajar perempuan di sekolah di bandar utama.
Ramai netizen tidak berlaku adil apabila menyalahkan Fadhlina atas segala isu yang berlaku di sekolah walhal semuanya di luar kawalannya.
Fadhlina juga teruk dikecam oleh ibu bapa yang mahu kerajaan mengembalikan peperiksaan UPSR dan PMR yang dimansuhkan ketika Datuk Dr. Radzi Jidin menjadi Menteri Pendidikan dahulu.
Sebelum menghentam Fadhlina dengan tanpa belas kasihan, netizen sepatutnya faham bahawa Fadhlina cuma mewarisi dasar pendidikan yang mula dilaksanakan ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Pendidikan era BN, kemudian diteruskan oleh Dr. Maszlee Malik dan Radzi Jidin.
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 bakal melabuhkan tirai maka tidak berapa sesuai jika tiba-tiba diubah pelaksanaan dasar yang menghampiri penghujungnya.
Tidak patut apabila Fadhlina dikecam atas kepincangan dasar yang dimulakan oleh menteri-menteri pendidikan sebelum beliau.
Netizen sepatutnya bersikap lebih matang dan rasional dalam menilai prestasi Fadhlina yang belum pun sampai sepenggal menjadi Menteri Pendidikan.
Berilah beliau peluang dan sekiranya Fadhlina gagal setelah dasar pendidikan yang baharu digubal dan dilaksanakan, maka hentamlah beliau sepuas-puasnya.
0 Ulasan