Maka biarlah MIC pergi...

 

Desas-desus MIC mahu keluar daripada Barisan Nasional (BN) bulan hadapan seperti didedahkan oleh bekas Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dianggap tidak mengejutkan dan tidak akan menjejaskan kekuatan gabungan itu.

Ahli MKT UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, MIC tidak menafikan pendedahan tersebut dan sekiranya benar, langkah diambil Presidennya, Tan Sri S. A. Vigneswaran dan Timbalan Presiden, Datuk Seri M. Saravanan akan tercatat dalam sejarah sebagai usaha membawa parti itu keluar daripada BN.

“BN memang tidak boleh mengelak untuk ditinggalkan. Banyak parti meninggalkan BN selepas Pilihan Raya Umum ke-14

"Bahkan ada yang meninggalkan UMNO secara berkumpulan dan individu. Itu tidak membunuh BN,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Beliau berkata, langkah MIC itu tidak sepatutnya dilihat sebagai tamparan kepada BN, sebaliknya peluang untuk memperkukuh semula gabungan berkenaan.

“Ini masa terbaik membina semula BN pasca 2018. BN masih ada Friends of BN yang juga mewakili kaum India seperti Makkal Sakti, MIUP, PPP, Parti Punjabi dan KIMMA,” katanya.

Menurut Mohd. Puad, MIC sebelum ini membantah penyertaan penuh parti-parti tersebut ke dalam BN walaupun gagal menarik sokongan masyarakat India kepada gabungan itu.

“MIC membantah parti-parti tersebut menjadi ahli penuh BN. Sedangkan MIC sendiri gagal menarik sokongan orang India kepada BN. Maka biarlah MIC pergi,” ujarnya.

Mohd. Puad berkata, tidak mungkin MIC dapat bergerak sendirian tanpa sokongan pengundi Melayu.

“Tidak mungkin MIC bergerak solo. Ia masih memerlukan sokongan orang Melayu. Bolehkah MIC mendapat sokongan Melayu melalui Perikatan Nasional (PN)? 

"Jangan nanti yang dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran. BN jalan terus,” katanya.







Catat Ulasan

0 Ulasan