Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal dengan tindakan segelintir pemimpin pembangkang yang memperlekeh usaha kerajaan mengadakan perbincangan dengan pemimpin dunia bagi membantu menyelesaikan konflik serantau dan global.
Beliau mempersoalkan sikap mempermainkan serta mengejek inisiatif tersebut dengan melabelnya sebagai ‘Perdana Menteri telefon’.
“Ahli-ahli Parlimen ini bertindak mempermainkan dengan menyatakan ini Perdana Menteri telefon, sedangkan dengan telefon itulah kita bantu damaikan Kemboja dengan Thailand.
"Dengan telefon itulah kita menyertai usaha-usaha orang lain, melakukan usaha kecil kita bersama,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat di Politeknik Merlimau, Melaka, semalam.
Anwar turut mendedahkan bahawa kerajaan Qatar menghubunginya bagi mendapatkan sokongan Malaysia dalam usaha mendamaikan hubungan antara Menteri Pertahanan Afghanistan dan Menteri Pakistan.
“Oleh kerana kita ada hubungan baik dengan Pakistan dan Afghanistan, diminta untuk kita menekankan, menggesa dua-dua negara ini cari jalan damai yang sekarang sedang dirunding di Doha, Qatar.
"Ini yang kita kerjakan, menghubungi tiga negara ini kerana kita diminta dalam keadaan kita adalah negara kecil, tetapi Alhamdulillah, dapat penghormatan (sedemikian).
“Jadi apa salah kita? Bukan kita hantar ke sana ratusan juta ringgit, cuma hanya bercakap, menggesa mereka membantu dan alhamdulillah hari ini mereka terus berunding dan kita harap hubungan dua negara ini kembali aman kerana dengan peperangan ini akan sebabkan rakyat terdera dan terseksa,” katanya.
0 Ulasan