Saya terpanggil untuk memberi respon terhadap kenyataan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia semalam, 10 Januari 2024 yang bertajuk, "MCA jangan cuba jadi hero".
1. MCA hero rakyat, memperjuangkan isu rakyat, apa salahnya? Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok yang mula mencetuskan perbalahan antara MCA-DAP. Apa salah Presiden MCA Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, seorang ahli parlimen dan ahli backbencher Kerajaan Perpaduan bertanya soalan di dalam parlimen dan membangkitkan isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara? Apa yang Presiden MCA suarakan ini adalah peringatan dan kritikan membina demi kepentingan rakyat. Apa salah jadi hero rakyat? Takkan nak jadi penindas rakyat pula?
2. Sebagai pemimpin lama, Zulpuri sepatutnya lebih arif dan boleh membezakan antara isu membabitkan kepentingan rakyat dan isu politik. Setiap wakil rakyat yang digelar Yang Berhormat (YB) baik diperingkat Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen, perlulah menjalankan tanggungjawab mereka sebaik mungkin dalam membela rakyat. Itu memang medan mereka bertanya soalan yang tepat dan berperlembagaan. Apabila seseorang YB bersuara sebagai jurucakap rakyat, ia tidak bermaksud YB tersebut bermain politik. Itu adalah tanggungjawab. Penting untuk semua pihak menghormati sistem demokrasi dan mengamalkan politik matang demi kestabilan negara. Sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA meletakkan keutamaan kepada kesepakatan bersama dalam menentukan sesuatu sokongan. Dalam konteks ini, di bawah Kerajaan Perpaduan, DAP seharusnya menghormati peranan MCA dalam BN yang turut sama membawa kepada pembentukan kerajaan semasa.
3. MCA mengulangi pendirian dalam memainkan peranan untuk semak dan imbang dalam kerajaan. Kerajaan dan pemimpin yang berjiwa besar sepatutnya tahu membezakan teguran yang membina daripada serangan yang berniat jahat, dan mengambil yang jernih sambil membuang yang keruh agar dapat terus menambaihbaik urus tadbir demi kepentingan rakyat. Ini juga selaras dengan prinsip Kerajaan Malaysia Madani di bawah kepimpinan PMX, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim. Adakah Zulpuri lupa bahawa YAB PMX amat menekankan soal tata kelola baik dalam pentadbiran kerajaan?
4. Melihat kepada cara Zulpuri menjawab soalan wartawan, jelas menampakkan keangkuhan pemimpin DAP setelah mendapat kuasa, sehingga besar kepala dan langsung tidak boleh ditegur. Adakah pemimpin DAP terlalu hebat dan maksum sehingga tak akan melakukan kesilapan? Kalau tak pernah buat silap, kenapa isu-isu yang dibangkitkan oleh Wee Ka Siong (aplikasi myJPJ dan tambang penerbangan) akhirnya diperbetul serta ditambah baik oleh pihak yang berkenaan selepas Ahli Parlimen Ayer Hitam itu bersuara? Belum lagi isu-isu lain yang dibangkitkan seperti isu KWSP, telur dan ayam, beras tempatan, sistem pendidikan serta banyak lagi.
5. Menyentuh tentang istilah hero, saya nak tanya YB Zulpuri 3 soalan;
i. Mana hilangnya suara YB apabila ada di kalangan pemimpin-pemimpin DAP yang mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan atau mengeluarkan cadangan dan usul yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan nasional?
ii. Apa pendirian YB dan di mana YB apabila pelbagai isu berkaitan 3R (perkauman, agama dan institusi diraja) sering dimainkan oleh segelintir pemimpin DAP? Malah, pernah ada laporan polis dibuat ke atas YB sendiri oleh Kerabat Pahang atas dakwaan menghina istana pada Oktober tahun lepas. Tidakkah ini satu perbuatan yang biadap dan derhaka? Atau YB nak jadi hero DAP?
iii. Secara moralnya, adakah YB Zulpuri bersetuju dengan tindakan yang boleh mengganggu-gugat keharmonian dan hubungan antara kaum di Malaysia? Adakah perbuatan itu boleh diterima sekiranya ia dilakukan oleh pemimpin DAP?
Nasihat saya kepada Zulpuri, belajarlah daripada bekas-bekas pemimpin DAP terdahulu seperti bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz; bekas Timbalan Pengerusi DAP, Zulkifli Mohd Noor; Mohamad Razali Abdul Rahman dan Amran Ahmad. Kesemua mereka sedar bahawa DAP bukanlah parti yang benar-benar memperjuangkan isu rakyat, DAP bukan hero rakyat yang sebenar. Malah, lebih teruk, gemar memainkan sentimen agama serta perkauman semata-mata mahu meraih sokongan, tanpa menghiraukan kesan terhadap masyarakat majmuk di Malaysia.
Insaflah!
Neow Choo Seong
Ketua Penerangan Pemuda MCA
11 Januari 2024
Check out 🔥TILAM PERCUMA LAPTOP DELL/HP🔥(DR.SPINAL HEALTH MATTRESS) (Support Health Care Mattress) TILAM QUEEN (Single/Queen/King) for RM288.00 - RM688.00. Get it on Shopee now! https://shope.ee/9UcK6KuRv6?share_channel_code=1
0 Ulasan