CUEPACS gesa kerajaan segerakan kenaikan gaji penjawat awam


Berikut adalah kenyataan penuh Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat hari ini:

CUEPACS merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan kerana telah menyalurkan Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 kepada penjawat awam pada hari ini. 

Bayaran insentif awal itu disalurkan kerajaan sementara menunggu Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dimuktamadkan.

Pemberian insentif tersebut sudah tentu memberikan kelegaan kepada penjawat awam terutama dalam membuat persediaan membeli kelengkapan persekolahan anak-anak serta persiapan menjelang Ramadan.




Minggu sesi pembukaan sekolah dan sambutan Ramadan yang serentak sudah pasti menimbulkan kegusaran mengenai kos perbelanjaan yang dijangka lebih tinggi. 

Sudah pasti ramai yang tidak sempat untuk membuat simpanan yang mencukupi apatah lagi pada bulan berikutnya Aidilfitri turut akan disambut. 

CUEPACS menasihatkan penjawat awam untuk berbelanja berhemah dengan mengutamakan keperluan yang sepatutnya. 

Jumlah tersebut jika kita lihat memberi sedikit kelegaan bagi perbelanjaan menyediakan kelengkapan persekolahan dan persiapan Ramadan. 

Berbelanjalah mengikut bentuk acuan perbelanjaan masing-masing dan janganlah dalam bentuk acuan yang tidak dimampui kerana kita sendiri yang akan merana jika perbelanjaan tidak disusun dengan baik.

CUEPACS juga menyeru semua kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan-badan berkanun untuk turut sama memberikan bayaran insentif awal ini sebagaimana yang dipanjangkan melalui surat edaran Jabatan Perkhidmatan Awam sebelum ini. 

Pemberian insentif seumpama ini boleh dijadikan sebagai inisiatif kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun menjaga kebajikan warga pekerja. 

Semua kerajaan wajar memanjangkan pemberian insentif ini kepada pihak berkuasa tempatan dan badan-badan berkanun negeri seperti mana yang dilakukan oleh negeri Selangor.

Dalam masa yang sama CUEPACS memohon kerajaan untuk menyegerakan kenaikan gaji penjawat awam kerana ramai dalam kalangan mereka tidak lagi mampu menghadapi kos sara hidup yang tinggi ketika ini berbanding kedudukan gaji semasa. 

Perdana Menteri telah memaklumkan bahawa laporan akhir kajian SSPA dijangka selesai dalam tempoh dua bulan dan tidak mahu lengah-lengahkan lagi pelaksanaannya. CUEPACS berharap komitmen yang dinyatakan oleh Perdana Menteri mampu ditunaikan segera dan tidak berlanjutan sehingga ke tahun hadapan.

PRESIDEN CUEPACS
Dato Dr Adnan Mat

Catat Ulasan

0 Ulasan