Menteri Pelancongan pecat KP LPPM cetus suasana tak harmoni - CUEPACS

Berikut adalah kenyataan penuh Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat hari ini berhubung isu pemecatan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM), Datuk Dr Ammar Abd Ghapar:

CUEPACS memohon penjelasan penuh daripada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkenaan isu penamatan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM). 

Notis penamatan yang dikeluarkan pada 22 Februari dan berkuat kuasa pada 26 Februari itu dilihat amat singkat dan mengejutkan itu boleh menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan pihak berkepentingan terutama penggiat industri tempatan. 

Walaupun kuasa melantik Ketua Pengarah LPPM itu adalah di bawah bidang kuasa Menteri, tindakan seperti itu dilihat boleh menimbulkan suasana yang tidak harmoni antara anggota pentadbiran dan penjawat awam. 

Suasana keharmonian dan kebersamaan itu perlu dijaga apatah lagi dengan usaha untuk mencapai sasaran ketibaan 27.3 juta pelancong asing bagi tahun ini memerlukan kerja yang berpasukan.

Kebersamaan antara anggota pentadbiran dan penjawat awam wajar diharmonikan dengan suasana semak dan imbang agar sistem pentadbiran kerajaan benar mencapai matlamat dan memberi manfaat kepada negara dan rakyat. 

Bagaimana boleh wujud keharmonian jika isu kebersamaan ini sering kali dipertingkahkan oleh kedua-dua pihak? 

Anggota pentadbiran datang dan pergi yang tinggal adalah penjawat awam. 




Maka pengalaman penjawat awam dan idealisme atau pendekatan yang hendak dibawa oleh anggota pentadbiran yang silih berganti perlu digabung jalin dengan sebaik mungkin bagi menghasilkan mutu dan kualiti perkhidmatan yang terbaik buat sesebuah organisasi dalam memberikan khidmat bakti kepada negara.

Keadaan yang wujud seperti yang dihadapi oleh isu penamatan Ketua Pengarah LPPM dapat dielakkan jika kedua-dua pihak mengambil pendekatan yang berhikmah bagi mencapai solusi yang terbaik. 

Ini kerana akan memberikan gambaran atau persepsi yang kurang baik kepada pihak kerajaan seolah-olah tiada kebersamaan dlm sistem pentadbiran kerajaan bagi sesebuah kementerian/jabatan atau agensi kerajaan.

Kita faham sebagai seorang menteri beliau punyai kuasa tetapi adakah tindakan penamatan itu dilihat jalan yang terbaik dalam merungkai isu yang dihadapi? 

Apatah lagi beliau sering kali kelihatan sebagai seorang figura yang kerap terpalit dengan isu-isu yang berkisar tentang pelanggaran kepada peraturan-peraturan yang ada dalam sistem pentadbiran kerajaan semasa.

Sebagai sebuah kerajaan Madani yang mempertahankan prinsip dan nilai yang baik seperti ihsan dan kebersamaan. 

Maka wajar kita menunjukkan contoh yang baik agar rakyat tidak celaru pemikirannya dengan tingkah laku yang tidak enak untuk mereka tatapi. 

Jika benar berlaku pelanggaran ada pihak yang boleh dirujuk sebelum kuasa pemutus digunakan. 

CUEPACS merasakan perlu ada pihak ketiga yang menjadi penasihat dalam memastikan situasi yang adil lagi saksama dapat dipraktikkan pada masa hadapan sebelum sesuatu keputusan dilaksankan. 

Jika pengguna boleh pergi ke bahagian tribunal pengguna untuk menyelesaikan permasalahan mereka maka untuk penjawat awam juga ada baiknya jawatankuasa yang bersifat sebagai pihak ketiga diwujudkan. 

Ia sekali gus dapat menangkis tanggapan yang kurang baik terhadap imej perkhidmatan awam dan kerajaan secara keseluruhannya.

Tambahan pula pendekatan yang diutarakan oleh tonggak utama dalam perkhidmatan awam negara seperti KSN dan KPPA baru-baru ini melalui pelaksanaan sistem penilaian DEEP dan HEMAT telah meletakkan penjawat awam agar lebih ke hadapan dalam memastikan sistem penyampaian kerajaan sentiasa berada pada landasan dan KPI yang betul dan seiring dengan dasar pemerintahan semasa negara. 

Perkhidmatan awam adalah tonggak dalam struktur pentadbiran negara. Tidak mahu kita menoleh kebelakang lagi. Kita mesti maju ke hadapan. 

Negara pernah berada dalam sistem pentadbiran yang mana hanya kita sebagai penjawat awam yang terus mentadbir, tiada anggota pentadbiran di dalamnya tetapi penjawat awamlah benteng negara pada ketika itu bagi memastikan negara berada dalam keadaan stabil dan terus produktif. 

Jangan habis madu sepah dibuang. Kebijaksanaan dan musyawarah adalah pendekatan terbaik buat kedua-duq pihak. 

Gunakan ia sebaiknya agar kebersamaan dan persekitaran yang harmoni dapat kita capai untuk bersama-sama membina sebuah negara bangsa yang hebat dan disegani seantero dunia.

Sebagai sebuah organisasi yang mewakili penjawat awam, CUEPACS amat terkesan dengan isu-isu yang berlaku pada masa kini. 

CUEPACS berharap tampuk kepimpinan negara dapat mengimbangi keadaan ini supaya tidak menjadi barah yang menikam kalbu penjawat awam. 

CUEPACS amat yakin kepimpinan tertinggi negara sentiasa mempunyai hati dan sifat ihsan yang amat tinggi dalam mendepani isu-isu seperti yang berlaku kini khususnya kepada penjawat awam. 

Marilah kita bersama-sama berpegang pada prinsip yang sama demi kemakmuran dan kesejahteraan buat negara Malaysia yang tercinta!

PRESIDEN CUEPACS 
DATO DR ADNAN MAT

Catat Ulasan

0 Ulasan