Adakah Lim Lip Eng kata PM, TPM juga boikot RUU kerajaan? - Wee Ka Siong

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menempelak Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang meminta dua wakil rakyat MCA dipindahkan ke blok pembangkang di dalam Dewan Rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, sembilan Ahli Parlimen kerajaan yang lain termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (Tambun) serta timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk) dan Datuk Seri Fadillah Yusof (Petrajaya) tidak hadir ketika sesi undi belah bahagian dijalankan di Dewan Rakyat kelmarin.


"Sila teliti dua keping gambar yang diambil dari klip video siaran langsung sidang Dewan Rakyat petang semalam.

"Adakah Ahli Parlimen Kepong daripada DAP ini nak kata mereka ini juga 'boikot atau khianat terhadap RUU yang dibentangkan oleh kerajaan'?" soalnya dalam hantaran Facebook semalam.

Lip Eng membuat permintaan tersebut dalam sidang Dewan Rakyat semalam.




Ka Siong memberitahu, seramai 66 Ahli Parlimen tidak hadir untuk mengundi belah bahagian kelmarin.

"Kenapa DAP hanya pertikai dua orang Ahli Parlimen dari MCA saja?" soalnya lagi.

Beliau juga bertanya: Mengikut logik Lip Eng, jika dua Ahli Parlimen dari MCA perlu dipindahkan ke blok pembangkang, maka adakah tempat duduk mereka yang tidak mengundi semalam antaranya termasuk Anwar, Ahmad Zahid, Fadillah, Kor Ming dan Kon Yeow dari DAP juga perlu dipindahkan?

"YB Kepong, sebelum bercakap tu fikirlah dulu dengan waras. 

"Jangan sampai nanti orang kata YB Kepong ni seperti 'marahkan nyamuk, kelambu dibakar'," sindirnya. - TUKANG TULIS

Catat Ulasan

0 Ulasan